Isnin, 10 Mei 2021

ESSCom tangkap lapan anggota Abu Sayyaf bersembunyi di Sabah

AGENDA DAILY

Dua daripada lapan anggota Abu Sayyaf yang ditahan di Sabah, Sabtu lalu, disenaraikan orang yang dikehendaki oleh Kerajaan Filipina. - Gambar hiasan

Pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan lapan anggota kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri dari Filipina dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, dua hari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata anggota Abu Sayyaf itu ditangkap bersama 29 lagi individu, semuanya warganegara Filipina, dalam operasi di kawasan paya bakau pada jam 3 pagi itu.

“Kita telah semak dengan pasukan keselamatan Filipina dan mereka mengesahkan lapan lelaki itu ahli kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri ke Sabah hasil operasi dijalankan pasukan keselamatan di selatan Filipina.

“Semakan dengan pihak Filipina juga mendapati dua daripada ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Memetik laporan Bernama Hazani berkata siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu tidak terlibat dengan kegiatan menculik untuk wang tebusan di negeri ini dan dipercayai mahu menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian.

Hazani berkata, operasi itu hasil kerjasama polis, ESSCom serta pasukan keselamatan Filipina, dan mereka yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Ketika ditahan kita menemui beberapa dokumen antaranya resit pengenalan sementara Malaysia yang dipercayai palsu… kita juga percaya mereka ada bawa senjata api dari Filipina tetapi tidak ditemui ketika ditahan, jadi kita mahu cari di mana mereka sembunyikan senjata api itu.

“Kita mahu cari siapa ‘established contact’ mereka di Sabah ini, berapa lama sudah berada di sini dan laluan mereka ke sini…perlu diingatkan mereka yang didapati bersekongkol boleh diambil tindakan mengikut undang-undang kerana bersubahat,” katanya.

Katanya dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang berada dalam senarai dikehendaki Kerajaan Filipina pernah terbabit dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara itu selain turut terbabit dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina.

Tiada ulasan: