Ahad, 9 Mei 2021

Dua anggota polis cedera dilanggar ketika bertugas

Oleh NOR AINNA HAMZAH

KEADAAN kemalangan membabitkan dua anggota URB IPD Kuala Pilah di Kilometer Satu, Jalan Kuala Pilah-Tampin, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, awal pagi tadi. - IHSAN POLIS

KUALA PILAH: Dua anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika bertugas di Kilometer 1, Jalan Kuala Pilah-Tampin, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kedua-dua anggota yang cedera ialah Lans Koperal Azrul Hafifi Abd. Halim, 26, dan Lans Koperal Muhamad Nur Firdaus Marsah, 29.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kedua-dua anggota tersebut berhenti di bahu jalan di sebelah sebelah kiri arah Tampin untuk membuat pemeriksaan motosikal.

“Secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan jenis Produa Myvi dari arah Kuala Pilah dipandu oleh seorang lelaki berusia 33 tahun melanggar penunggang dan motosikal URB yang berada di bahu jalan tersebut.

“Akibat kemalangan, Lans Koperal Muhamad mengalami kecederaan dan dihantar ke zon kuning, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini untuk rawatan dan mengalami patah tangan dan patah kaki,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Jelas Amran, Lans Koperal Azrul Hafifi dibenarkan keluar setelah menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Tambahnya, dalam kemalangan berhadapan persimpangan Sekolah Menengah Tuanku Muhammad itu, empat buah kenderaan terlibat iaitu dua kenderaan URB jenis Honda CBR, sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan Perodua Myvi.

“Pemandu kenderaan dan orang awam yang diperiksa tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: