Sabtu, 8 Mei 2021

Dikompaun RM5,000 pakai gelang pink ke pasar raya

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
SEORANG lelaki dikompaun selepas gambarnya memakai gelang merah jambu dan melanggar perintah kuarantin dimuat naik di laman Facebook di Raub, Pahang.

RAUB: Seorang lelaki dikompaun RM5,000 selepas gambarnya yang sedang membuat pembayaran di sebuah pasar raya dengan memakai gelang merah jambu dimuat naik dalam laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, lelaki berkenaan dikompaun semalam kerana gagal kuarantin di rumah sendiri selepas dipakaikan gelang merah jambu.

“Rentetan satu tangkap layar yang dimuat naik oleh penama Rasyidie Azren di laman Facebook Penduduk Raub, penama dalam gambar itu dikompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Alasan lelaki tersebut bahawa dia beranggapan hanya tidak boleh keluar dari kawasan Sungai Ruan dan tidak mendapat penjelasan yang teliti dari Kementerian Kesihatan selepas memakai gelang supaya tidak keluar rumah,” katanya di sini hari ini.

Kama Azural berkata, lelaki itu dikompaun di bawah Perkara 22(b) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) kerana gagal kuarantin di rumah sendiri setelah memakai gelang berwarna merah jambu.

“Kita memohon orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis jika nampak pelanggaran SOP terutama mereka yang dikenakan tindakan kuarantin.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih atas maklumat yang disalurkan orang ramai,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: