Isnin, 10 Mei 2021

Bomba kongsi rezeki, edar bubur lambuk untuk masyarakat

Oleh ASLIZA MUSA
MOHD. Ismail Mohd. Yunus (tengah) mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung Bazar Ramadan Teluk Intan semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM

TELUK INTAN: Di sebalik kesibukan tugas memadam kebakaran dan menyelamat, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan masih sempat mencuri masa menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan mengadakan aktiviti untuk masyarakat.

Menerusi program ‘Memasak Bubur Lambuk’, seramai 27 anggota BBP Teluk Intan dibantu Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat (Perisma) bergotong-royong memasak tiga periuk besar bubur lambuk.

Ketua BBP Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, program julung kali diadakan itu bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan bulan Ramadan.

Katanya, sebanyak 450 bekas bubur lambuk diagihkan kepada anggota dan orang ramai yang mengunjungi Bazar Ramadan Teluk Intan, semalam.

“Program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat setempat sempena bulan mulia ini.

“Selain mengeratkan hubungan sesama anggota melalui gotong-royong, aktiviti ini juga dilihat sebagai platform komunikasi bersemuka bersama masyarakat melalui edaran bubur yang dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, selain edaran bubur lambuk, pihaknya turut mengedarkan risalah kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan kepada pengunjung bazar ramadan.

“Selain berhati-hati di jalan raya, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memastikan barangan elektrik di rumah tidak menjadi punca kepada kebakaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: