Sabtu, 8 Mei 2021

Aidilfitri: Kurang 50% tiket bas terjual, KTMB antarabandar hanya 1%

Pengurus Kanan Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan, berkata untuk tempoh 
7 hingga 17 Mei, kira-kira 23,000 tiket bas ke 131 destinasi di Semenanjung 
disediakan untuk mereka yang mendapat kebenaran merentas negeri.

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) masih diteruskan sempena Aidilfitri walaupun tidak sampai 50% tiket terjual susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri.

Pengurus Kanan Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan, berkata untuk tempoh 7 hingga 17 Mei, kira-kira 23,000 tiket bas ke 131 destinasi di Semenanjung disediakan untuk mereka yang mendapat kebenaran merentas negeri bagi tujuan pekerjaan dan kecemasan.

“Secara purata, TBS menerima kira-kira 2,000 penumpang sehari dalam tempoh ini berbanding 20,000 orang melibatkan lebih 1,000 perjalanan sehari bagi tempoh perayaan Aidilfitri pada 2019 iaitu sebelum Covid-19 melanda.

“Tahun ini, jumlah jualan tiket juga sedikit meningkat berbanding tahun lalu yang juga dilaksanakan larangan rentas negeri yang mana kita menerima sekitar 300 penumpang sahaja sehari ke 60 destinasi melibatkan 85 perjalanan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, hanya 38 daripada 123 operator bas masih beroperasi secara aktif dan terdapat beberapa perubahan terpaksa dilaksanakan antaranya pengurangan kekerapan perjalanan serta penamatan beberapa laluan melibatkan destinasi pedalaman susulan permintaan rendah antaranya ke Gerik, Perak.

“Penumpang perlu menunjukkan surat kebenaran polis untuk merentas negeri ketika pembelian tiket di kaunter manakala mereka yang membeli tiket secara dalam talian masih perlu menunjukkan tiket di kaunter untuk mendapatkan bar kod bagi pelepasan masuk ke platform,” katanya sambil menambah hanya satu bas tambahan disediakan sebagai persediaan jika perlu.

Faizal berkata, sebarang kekeliruan dan urusan berkenaan surat kebenaran merentas negeri akan dirujuk di pondok polis TBS.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi kenyataan kepada Bernama memaklumkan hanya 6,834 tiket atau 20% daripada 34,944 tiket kereta api elektrik (ETS) yang disediakan terjual untuk tempoh 7 hingga 20 Mei bagi lapan laluannya.

Menurut KTMB, bagi perkhidmatan KTM Antarabandar (Intercity) pula, hanya 384 tiket terjual daripada 51,600 tempat (purata 1%) melibatkan 16 laluannya untuk tempoh sama.

“Berbanding 2019, bagi tempoh 31 Mei hingga 12 Jun (musim Aidilfitri), ETS menawarkan 36 perkhidmatan dan dua perkhidmatan tambahan sepanjang tempoh tersebut dengan jumlah tiket terjual lebih 160,000 iaitu 100%, manakala bagi KTM Antarabandar sebanyak 38,362 tiket terjual daripada 49,920 (70%),” menurut kenyataan itu.

Menerusi tinjauan Bernama, suasana di TBS dan KL Sentral lengang dengan jumlah pengunjung mendapatkan tiket bas dan menunggu di terminal serta platform berkurangan seolah-olah bukan musim perayaan.

Tiada kesesakan dilihat malah pembeli tiket juga tidak perlu beratur panjang seperti kebiasaan musim perayaan dan rata-rata pengunjung yang ditemui memaklumkan mereka pulang atas alasan pasangan jarak jauh dan perubatan dengan mendapat kebenaran polis untuk merentas negeri.

Tiada ulasan: