Selasa, 18 Mei 2021

3 lagi kes varian India, 4 kes varian South African dikesan KKM

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Tiga lagi kes baharu Covid-19 varian Indian B.1.617.2 dikesan di Malaysia melibatkan warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke India.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu, empat kes tempatan yang dijangkiti varian South African B.1.351 turut dikesan di Kuala Lumpur.

Katanya, sehingga kini, jumlah keseluruhan kes yang dijangkiti varian South African B.1.351 adalah sebanyak 66 kes dan varian Indian B.1.671 termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2 adalah sebanyak lima kes.

“Bagi kes melibatkan varian Indian, dua kes dikesan melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) manakala satu lagi hasil saringan bergejala.

“Kerajaan telah melanjutkan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari kepada pengembara dari negara-negara dengan penularan Variant of Concern (VOC) dalam komuniti sejak 28 April lalu dan mengadakan sekatan kemasukan pengembara warga asing dari India sejak 7 Mei 2021 berikutan penularan varian VOC yang semakin membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, susulan pertambahan kes VOC, pihaknya akan meneruskan pemantapan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk survelan epidemik, ujian saringan Covid-19 yang strategik.

“Kita juga akan melakukan pengesanan kontak dan melakukan langkah kesihatan awam bagi membendung penularan VOC dalam komuniti,” katanya.

Rabu lalu, seorang warga asing yang tiba pada 7 April lalu dan menjalani saringan Covid-19 di PMA dikesan dijangkiti varian Indian B.1.617.2, meninggal dunia selepas hampir sebulan tiba di negara ini.

Beliau berkata, dua ujian saringan yang dijalankan terhadap individu tanpa dinyatakan jantina dan kewarganegaraan pada 7 April dan 12 April itu didapati negatif.

Susulan peningkatan kes melibatkan VOC, Pelaksanaan Skim Reciprocal Green Lane (RGL) Malaysia – Singapura digantung sementara waktu di peringkat Malaysia bermula Khamis lalu berikutan negara republik itu disenarai sebagai salah sebuah negara yang melaporkan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti.

Keputusan itu dibuat melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Bilangan 30 Tahun 2021, berhubung laporan Kementerian Kesihatan Singapura, di mana melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1) termasuklah Variant of Interest (VOI) dari India iaitu B.1.617.1. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: