Selasa, 13 April 2021

Warga emas dalam koma, jatuh tangga gara-gara lif rosak

Ketiga-tiga lif di bangunan pangsapuri PKNS di SS8, Kelana Jaya. FMT 
difahamkan, lazimnya, hanya satu saja yang berfungsi.

PETALING JAYA: Seorang pesara berusia 67 tahun kini terlantar koma selepas terjatuh ketika terpaksa menaiki tangga kerana lif di bangunan pangsapuri PKNS di SS8, Kelana Jaya sering mengalami kerosakan dan tidak diselenggara.

John Joseph Samikanoo, seorang pesara yang aktif dan gemar bermain bola sepak serta badminton bersama cucunya, kini mungkin menghabiskan sisa hidupnya di atas katil ekoran kejadian pada 13 Mac lalu yang menyebabkannya koma sejak sebulan lalu.

John Joseph Samikanoo dilaporkan koma sebulan selepas dia 
terjatuh ketika menuruni anak tangga di pangsapuri kediamannya.

Dalam kejadian pada awal pagi itu, John terpaksa menaiki tangga ke tingkat 10 kerana ketiga-tiga lif di pangsapuri yang dibina pada 1984 itu tidak berfungsi.

John, seperti 230 unit penghuni lain, sudah biasa dengan keadaan lif yang sering tidak berfungsi dan terpaksa menggunakan tangga. Namun dalam kejadian pada awal Mac lalu, pesara itu hanya sampai di tingkat pertama sebelum terjatuh.

Seorang penduduk menemui warga emas itu dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan di sebelahnya terdapat pagar tangga yang berkarat, yang dipercayai oleh polis digunakan John untuk menyokong dirinya ketika menaiki tangga.

Menantu John Joseph Samikanoo, Brian Ruban, menunjukkan 
lokasi John terjatuh tangga.

Tinjauan pada dua tangga lain seterusnya menemui pagar besi yang sama dalam keadaan berkarat dan reput dan notis yang dikeluarkan oleh badan pengurusan pangsapuri diletak di tingkat bawah menyatakan semua lif belum diperbaiki dan ada peralatan yang perlu diganti.

John yang dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), disahkan oleh doktor pakar sebagai mengalami banyak pendarahan, termasuk kecederaan patah tulang muka dan bahu.

“Ayah saya tidak sedar sejak dia jatuh dan menurut doktor, dia tidak akan dapat bangun, berjalan atau bercakap lagi dan berkemungkinan hanya terlantar di atas katil sepanjang hayatnya,” kata anak mangsa, Michele.

Michele berkata, dia tidak pasti pihak mana yang harus bertanggungjawab untuk penyelenggaraan lif, sama ada badan pengurusan, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP), PKNS atau kerajaan Selangor.

Pagar yang ditemui berada di sebelah John Joseph Samikanoo 
selepas insiden terjatuh, dipercayai digunakannya untuk 
menyokong dirinya ketika menaiki tangga.

Beberapa penduduk yang ditemui FMT berkata, penyelenggaraan lif yang begitu lemah di bangunan 15 tingkat itu menjadi masalah selama bertahun-tahun, tetapi badan pengurusan memberi alasan mereka tidak mempunyai cukup dana untuk membiayai kos pembaikan.

Notis kenyataan yang meminta penduduk untuk menjelaskan bayaran tertunggak dilihat ditampal di dinding sekitar lif, termasuk papan tanda yang bertuliskan “Kerja-kerja servis sedang dijalankan”, menghadang pintu masuk lif.

Penduduk turut menyatakan berlaku situasi seorang penduduk menghadapi serangan penyakit jantung ketika menaiki tangga.

Ketika FMT meninjau bangunan pangsapuri itu Ahad lalu, hanya satu daripada tiga lif  berfungsi selain terdapat notis JKKP menyatakan semua lif tidak sesuai digunakan kerana peralatan dalam keadaan tidak elok.

“Satu lif ini tidak mencukupi, orang menggunakannya sepanjang masa kadang-kadang hingga 2 atau 3 pagi. Ia kerap digunakan,” kata seorang penduduk.

Bangunan pangsapuri PKNS 15 tingkat di SS8, Kelana Jaya.

Seorang tukang cuci yang tinggal di tingkat tujuh, Deiva Aparanjitham Nagan, 60, berkongsi pengalaman peritnya naik dan turun tangga ketika lif tidak beroperasi.

“Saya menghadapi masalah lutut, jadi tidak mudah bagi saya. Terutama apabila pagar besi di sepanjang tangga banyak yang rosak,” katanya.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Jisenaden, berkata “alasan” yang sering diberi badan pengurusan adalah ramai penduduk tidak membayar yuran pengurusan mereka adalah tidak adil..

“Tapi saya bayar, jadi saya mesti boleh menggunakan lif,” katanya.

FMT sedang berusaha mendapatkan komen pihak berkuasa berhubung isu ini.

Tiada ulasan: