Khamis, 15 April 2021

Saya ‘marah’ kerana tak mahu peniaga rugi – Norhizam


“SAYA bertengkar dengan peniaga kerana tak mahu bazar Ramadan ditutup sekali gus menyebabkan mereka rugi.”

Demikian kata Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee selepas sebuah video melibatkan dirinya bertengkar dengan seorang peniaga di bazar Ramadan tular dalam media sosial semalam.

Menurut Norhizam, tindakannya ‘memarahi’ peniaga di bazar Ramadan Peringgit itu adalah supaya mereka patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Saya mengunjungi bazar Ramadan berkenaan kira-kira pukul 6 petang untuk melihat SOP yang dilaksanakan penganjur di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, ada segelintir peniaga terutama yang berniaga di hujung bazar berkenaan minta supaya kerajaan benarkan dua jalan masuk dan dua jalan keluar dibuka di bazar Ramadan itu.

Tangkap layar video memaparkan Norhizam Hassan Baktee 
bertengkar dengan peniaga bazar Ramadan yang tular dalam 
media sosial semalam.

“Ia sekali gus melanggar SOP yang menetapkan hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibuka,” katanya seperti dilapor Bernama.com hari ini.

Baca artikel berkaitan: PBT diberi kuasa kompaun ingkar SOP bazar Ramadan

Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu bagaimanapun berkata, beliau tidak akur dengan kehendak segelintir peniaga terbabit kerana sedar akan mengundang masalah lebih besar jika dituruti.

“Bazar Ramadan berkenaan menggunakan sistem kupon di mana kita boleh mengehadkan jumlah pengunjung, namun jika dibuka dua jalan masuk akan menyebabkan keadaan tersebut tidak dapat dipantau dengan rapi dan menyebabkan keadaan luar kawalan.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka bersetuju hanya satu jalan masuk dan satu jalan keluar dibenarkan,” katanya.

Norhizam malah berkata sebahagian besar peniaga lain serta pengunjung juga faham dengan SOP yang telah ditetapkan dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 yang masih berlaku ketika ini.

“Kerajaan negeri terpaksa mengetatkan SOP demi memastikan tiada kejadian tidak diingini khususnya penularan Covid-19 dan untuk melindungi kepentingan peniaga sendiri juga,” jelas beliau.

Tiada ulasan: