Rabu, 21 April 2021

PGA7 rampas pakaian, kosmetik dan mercun hampir RM100,000

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sejumlah pakaian, barangan kosmetik dan mercun dipercayai diseludup daripada negara jiran bernilai RM99,865 dirampas pasukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Rantau Panjang, Kelantan, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata dalam kejadian jam 12.30 tengah malam anggotanya sedang melakukan rondaan dan ternampak sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah beberapa guni putih dari perahu ke tebing di Pengkalan Haram Abe Yie.

"Suspek bagaimanapun menyedari kehadiran anggota penguat kuasa sekali gus bertindak melarikan ke arah negara jiran dengan menaiki perahu.

"Pemeriksaan lanjut terhadap guni putih berkenaan didapati berisi pelbagai jenis pakaian dan barang kosmetik dipercayai diseludup menggunakan jalan tidak diwartakan dan bagi mengelak cukai dikenakan terhadap barang rampasan tersebut," katanya dalam kenyataan media di Pasir Mas, hari ini.

Sementara itu Azhari turut mendedahkan kejayaan pihaknya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM13,175 di Kampung Kubang Kuau, Rantau Panjang, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian jam tujuh malam itu pihaknya turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dan sebuah kereta yang digunakan suspek.

"Ketika kejadian anggota risik PGA7 menahan sebuah kereta yang dilihat mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menemui sejumlah mercun pelbagai jenama.

"Kita percaya bahan letupan ini diseludup masuk melalui pangkalan haram untuk dijual dalam pasaran tempatan. Susulan iti rampasan dan tangkapan dibuat untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Tambah Azhari, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Tiada ulasan: