Selasa, 20 April 2021

Lagi dua hari, harga ayam tak boleh lebih RM7.90 sekilo

IKUTKAN peniaga, harga ayam peringkat borong naik sedikit demi sedkit, contohnya hari ini 20 sen dan lusa pula 30 sen.

Begitulah senarionya sejak beberapa hari sebelum puasa hinggalah harga runcit ayam standard kini mencecah melebihi RM9 sekilo.

Malah ada media melaporkan yang ayam standard dijual hampir RM10 sekilo akibat peningkatan harga di peringkat pembekal.

Namun, bermula Rabu ini, harga ayam standard di Semenanjung ditetapkan pada RM7.90 sekilo manakala ayam super RM8.70 sekilo.

Ini sulan tindakan proaktif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.

Pelaksanaan ini dilaksanakan 22 hari sebelum Aidilfitri sehinggalah seminggu selepasnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan ini tiada lagi alasan di pihak peniaga untuk menjual melebihi harga ditetapkan.

ALEXANDER NANTA LINGGI

Katanya, perundingan telah pun dijalankan di peringkat ladang dengan pengusaha bersetuju menurunkan harga jualan mereka sekali gus memboleh harga runcit turun seperti mana ditetapkan.

“Nak jual lebih murah daripada ditetap, silakan, kami berterima kasih.

“Namun kalau lebih, mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pengguna juga diseru mengemukakan aduan jika terdapat peniaga yang ingkar mematuhi SHMMP 2021,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Tambah Alexander, selain ayam, turut termasuk dalam SHMMP antaranya telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Katanya, SHMMP itu dilaksanakan sebagai langkah menyekat kenaikan harga keperluan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Jumlah barangan akan ditambah dari semasa ke semasa menjelang Aidilfitri dan dijangka lebih 20 barangan utama akan diumumkan.

“Pengumuman 12 barangan ini adalah susulan berlaku peningkatan harga mendadak sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berharap skim berkenaan akan memberi mesej kepada pengeluar, pemborong dan peruncit, selain menegaskan kerajaan mempunyai kuasa di bawah akta terbabit dan boleh melaksanakan kawalan harga demi kepentingan rakyat.

“Jika peniaga sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat membuat keuntungan berlebihan, KPDNHEP boleh bertindak bawah akta yang dinyatakan.

“Notis di bawah Seksyen 21 akta berkenaan turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak.

“Ingin diingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan bawah skim ini,” jelasnya.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, katanya, individu terbabit boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Alexander berkata, pihak syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal terbabit menyebabkan pihak terbabit didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang, beliau berkata, KPDNHEP akan menempatkan pegawai penguat kuasa di lokasi tumpuan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Tiada ulasan: