Khamis, 15 April 2021

Najib gagal lindungi wang pesara

Oleh SUWARNI MOKHTAR
NAJIB Razak tiba di pekarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan semalam menghujahkan Datuk Seri Najib Razak ketika menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan gagal melindungi duit pencen pesara daripada pinjaman tidak berbayar (bad loan).

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pekan itu telah campur tangan dalam meluluskan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) tanpa melalui prosedur biasa pinjaman dan sebelum sebarang semakan berhubung merit pinjaman dan pembayaran balik dibuat oleh organisasi tersebut.

“SRC International Sdn. Bhd. ditubuhkan dengan sokongan perayu (Najib). Bagaimanapun, ia gagal mendapatkan pinjaman RM3 bilion daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menyebabkan SRC International menghampiri entiti lain yang berada di bawah kawalan dan arahan perayu selaku Menteri Kewangan.

“Ini duit pembayar cukai, duit pesara. KWAP digunakan untuk mendapatkan dana bagi SRC International. Penyalah­gunaan dana organisasi akan memberikan kesan terus dan teruk kepada duit pencen pesara dan langkah berjaga-jaga perlu diambil apabila mengendalikan dana KWAP. Dihujahkan perayu gagal melindungi KWAP daripada ‘bad loan’.

“Pengaruh perayu terhadap panel pelaburan KWAP boleh dilihat melalui sepucuk surat permohonan daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil yang mengandungi tulisan ‘Datuk Azian, bersetuju dengan cadangan ini’ yang jelas dan mendesak daripada seorang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan,” hujah Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc. Datuk V. Sithambaram.

Pendakwa Raya itu berhujah demikian ketika membuat hujahan balas terhadap rayuan Najib atas sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan ter­adapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Selain itu, Sithambaram ber­kata, ketika pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan sewaktu beliau membela diri menunjukkan keengganan Najib mendapatkan semula dana yang telah dibekukan oleh sebuah bank di Switzerland.

Tindakan Najib tidak memberi kebenaran kepada SP56, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadz­lah untuk ke Switzerland bagi mengesahkan mengenai pembekuan tersebut amat diragui.

“Menteri Kewangan II mempunyai kuasa dan kawalan ke atas semua syarikat yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan). Soal balas terhadap perayu menunjukkan ketakrelaan perayu untuk membenarkan SP56 untuk mengendalikan isu pembekuan dana SRC International di Switzerland malah beliau sendiri tidak pernah mengambil sebarang langkah untuk membawa pulang dana tersebut sehinggalah ke saat beliau tidak lagi meme­gang sebarang jawatan.

“Jawapan yang berbolak balik daripada perayu menunjuk­kan beliau tidak mahu sesiapa masuk campur dalam dana yang telah dibekukan. Beliau mahukan pelan terperinci (untuk mendapatkan semula dana) tetapi tidak pernah mencadang­kannya kepada SP56. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima akal. Perayu yang bertanggungjawab dalam mendapatkan dana KWAP sebanyak RM4 bilion yang mana RM3.6 bilion daripadanya berakhir di Switzerland,” kata Sithambaram.

Kes bersambung hari ini. – UTUSAN

Tiada ulasan: