Rabu, 21 April 2021

Masjid, surau seluruh Kelantan ditutup mulai esok

Oleh ROSLIZA MOHAMED
Masjid dan surau di seluruh Kelantan ditutup untuk solat Jumaat, solat fardu dan tarawih bermula esok . - GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengarahkan semua masjid mukim dan surau di seluruh negeri Kelantan ditutup bermula esok sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, susulan itu pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu, solat sunat tarawih dan aktiviti-aktiviti lain tidak dibenarkan sepanjang tempoh itu.

Bagaimanapun katanya, solat fardu, solat Jumaat dan tarawih di 17 masjid negeri, bandar dan jajahan masih dibenarkan dibuka dengan penggunaan 50 peratus daripada kapasiti sesebuah masjid atau surau selain perlu mematuhi penjarakan fizikal sejauh dua meter.

“Perkara ini mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama negeri mengikut peruntukan Perkara 6(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Aktiviti-aktiviti lain seperti tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut ialah masjid yang dibenarkan beroperasi bermula esok:

1. Masjid Muhammadi, Kota Bharu
2. Masjid Al Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian
3. Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan
4. Masjid Muhammad II, Telipot
5. Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh
6, Masjid D’Raja Long Yunus, Langgar
7. Masjid Bandar As-Salam, Pengkalan Chepa.
8. Masjid Mahmoodi, Bachok
9. Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh
10. Masjid Sultan Yahya Petra, Machang
11. Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai
12. Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra
13. Masjid Sultan Muhammad I, Jeli
14. Masjid Sultan Muhammad III, Pasir Mas
15. Masjid Ismail Petra, Tanah Merah
16. Masjid Bandar An-Nur Guchil, Kuala Krai – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: