Khamis, 22 April 2021

MAQIS rampas 27 tan perut khinzir sejuk beku

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menahan kontena yang membawa masuk 'Frozen Pork Belly' seberat 27 tan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim, berkata produk bernilai RM315,520 itu dibawa masuk dari Denmark sebelum ditahan pihaknya yang menjalankan pemeriksaan kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, kontena itu didapati membawa produk seberat 27,200 kilogram (kg).

"Hasil pemeriksan mendapati 'seal' pada kontena terbabit tidak sama seperti dalam 'bill of lading' yang dikemukakan kepada pegawai penguasa MAQIS.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM75,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Katanya, semua pengimport dan pengeksport diingatkan supaya mengikut peraturan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan Malaysia, terpelihara.

Tiada ulasan: