Rabu, 21 April 2021

Kes meningkat bukan hanya Malaysia

Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI

Noor Hisham

PUTRAJAYA – Bukan hanya Malaysia, lonjakan kes positif Covid-19 yang meningkat mendadak turut berlaku di beberapa negara.

Menerusi data terbaharu yang diterbitkan oleh Pusat Sains Sistem dan Kejuruteraan (CSSE) Universiti Johns Hopkins, sehingga hari ini, jumlah kes positif di seluruh dunia melonjak kepada 142.71 juta kes dengan angka kematian melebihi 3.04 juta orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Amerika Syarikat negara paling teruk terjejas dan berada pada kedudukan tertinggi dari segi jumlah kes dan kematian, masing-masing sebanyak 32,475,043 kes dan 581,542 kes.

“Ia diikuti oleh India pada kedudukan kedua tertinggi dengan 15,317,714 kes dan pertambahan sebanyak 96,982 kes baharu. Pada awal tahun ini, India hanya mencatatkan kurang daripada 20,000 kes baharu, namun kes telah melonjak bermula awal April tahun ini.

“Selain itu, Indonesia mencatatkan jumlah peningkatan kes yang ketara sejak 14 hari lepas, dengan purata sebanyak 5,453 kes,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, Thailand pula merekodkan 1,547 kes baharu dan dua kematian dalam tempoh 24 jam lepas dan jumlah terkini kes baharu itu menjadikan Thailand mencatatkan lebih 1,500 kes harian dalam masa tiga hari berturut-turut selepas hanya mencatatkan purata kes harian kurang dari 100 kes pada 4 April lalu.

“Situasi peningkatan kes yang sama dapat dilihat di Malaysia dengan kes terkini yang direkodkan adalah berjumlah 379,473 kes, iaitu pertambahan kes baharu sebanyak 2,341 kes hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, tidak timbul sebarang kesangsian terhadap sistem pengurusan data Covid-19 dan data harian yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada umum.

Menurutnya, setiap negara perlu memastikan semua data seharian Covid-19 dan data klinikal kes Covid-19 adalah tepat dan sahih, justeru sistem pengurusan data yang digunakan perlu telus serta mempunyai integriti.-K!ONLINE

Tiada ulasan: