Isnin, 19 April 2021

Kanak-kanak dua tahun telan 209 biji bola magnet

 Oleh KOSMO!

Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menelan bola magnet yang merupakan bahagian daripada set permainannya. - iStock

MOSCOW – Sekumpulan pakar perubatan di Rusia berjaya mengeluarkan 209 bola magnet daripada perut seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun melalui satu pembedahan, lapor Newsweek kelmarin.

Ibu bapa mangsa dilaporkan mengesan kehadiran bola magnet ketika membersihkan najis kanak-kanak itu yang tampak aneh.

Najis yang berwarna hitam merupakan petanda berlaku pendarahan pada sistem pencernaannya.

Hasil imbasan ultrasound dan X-ray menunjukkan terdapat gumpalan bola magnet dalam perut kanak-kanak berkenaan yang merupakan bahagian daripada satu set permainan.

Pakar perubatan Institut Penyelidikan Pembedahan Pediatrik Kecemasan dan Traumatologi bersetuju pembedahan endoskopi ke atas mangsa adalah cara paling selamat untuk mengeluarkan bebola itu.

Pakar bedah pediatrik, Anastasia Kharitonova berkata magnet tersebut terlalu besar untuk dikeluarkan sekaligus.

Satu kenyataan laman web jabatan kesihatan tersebut menulis, para doktor memasukkan endoskop ke dalam perut kanak-kanak itu dan mengeluarkan empat biji magnet dalam pembedahan yang mengambil masa dua jam.

Tambah Kharitonova, mereka bimbang bola itu akan sampai ke oesofagus dan usus lalu menyebabkan kerosakan pada tisu.

“Keadaan itu akan menyebabkan peritonitis yang teruk,” katanya yang merujuk kepada radang pada dinding abdomen. -Agensi

Tiada ulasan: