Selasa, 20 April 2021

Jenayah pelajar membimbangkan, polis Johor akan turun ke sekolah setiap bulan – Ayob Khan

pelajar ayob

SENARIO terkini yang memperlihatkan kadar jenayah melibatkan golongan pelajar sama ada yang menjadi mangsa atau pelaku jenayah mencetuskan kebimbangan semua pihak.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesalahan jenayah indeks membabitkan pelajar sekolah di Johor adalah paling tinggi berbanding jenayah bukan indeks dan narkotik.

Katanya, statistik menunjukkan sebanyak 1,230 pelajar ditangkap bagi kesalahan jenayah indeks pada 2019, manakala 601 pelajar tahun lalu dan 77 pelajar bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

“95 peratus kesalahan jenayah ini dilakukan pelajar sekolah menengah dengan pelajar lelaki mendominasi pelaku jenayah dengan bakinya lima peratus pelaku perempuan,” katanya pada program Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (MEKAR) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Beliau berkata, penglibatan jenayah paling tinggi dalam kalangan pelajar membabitkan kesalahan curi kenderaan, lain-lain curi, mencederakan orang, kes rogol, pecah rumah dan samun.

“Perangkaan pelajar menjadi mangsa perlakuan jenayah menunjukkan 58 peratus mangsa adalah terdiri daripada pelajar perempuan, manakala 42 peratus pelajar lelaki.

Bagi kes mangsa jenayah pula, kebanyakannya melibat kes rogol, mencederakan orang, curi kenderaan dan lain-lain kes curi.

“99 peratus pelaku dan mangsa jenayah adalah melibatkatkan pelajar sekolah menengah yang berusia antara 13 hingga 18 tahun,” katanya.

Ayob Khan berkata, bagi kes narkotik, pembabitan pelajar sebagai pelaku jenayah pada 2019 adalah seramai 43 orang, manakala 36 pelajar bagi tahun lalu dan empat pelajar pula bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

Katanya, antara kesalahan melibat kes tersebut yang hanya melibatkan pelajar sekolah menengah sahaja ialah memiliki dadah, memasukkan dadah ke dalam badan dan penyalahgunaan ketum.

“Meskipun perangkaan jenayah membabitkan pelajar menunjukkan penurunan, mungkin faktor pandemik COVID-19 yang melanda negara, namun langkah pencegahan serta program kesedaran perlu dilakukan supaya kes jenayah dapat ditangani,” katanya.

Beliau berkata, program kesedaran jenayah perlu bermula di peringkat sekolah lagi kerana seperti yang diketahui mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

“Daripada itu, tercetus idea hasil daripada kerjasama UTM dan Polis Johor untuk menghasilkan program MEKAR yang bertunjangkan kepada teori psikologi, kaunseling, kerohanian dan peruntukan perundangan,” katanya.

Katanya, program tersebut akandilaksanakan dalam seminggu atau dua minggu ini dan dilaksanakan secara berterusan.

“Saya akan memastikan pegawai dan anggota saya turun ke sekolah-sekolah lebih kerap selepas ini, sekurang-kurangnya sebuah sekolah setiap bulan,” kata Ayob Khan.– UtusanTV

Tiada ulasan: