Rabu, 14 April 2021

JAWI pantau individu Islam tidak hormati bulan Ramadan

fazleensafina

Penguatkuasaan, operasi akan dibuat pada bila-bila masa

PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan tetap menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan termasuk makan di tempat awam, sekalipun tiga Willayah Persekutuan kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, penguatkuasaan, pemantauan dan operasi akan dibuat pada bila-bila masa.

“Kerja-kerja penguatkuasaan berjalan seperti biasa dan kita juga akan buat operasi berdasarkan aduan yang diterima,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Kembara Al- Amin di sini hari ini.

Ahmad Marzuk berkata tindakan turut diambil terhadap premis perniagaan atau restoran yang menjual makanan kepada golongan itu.

Mereka akan diambil tindakan menurut Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan  hukuman denda hingga RM1,000 atau dipenjarakan maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengenai Program Kembara Al-Amin itu, Ahmad Marzuk berkata program digital yang bermula hari ini hingga 12 Mei depan menampilkan 13 segmen berkonsepkan bual bicara, videografi, peraduan, doa dan zikir, disiarkan melalui media sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

 Di bawah program itu juga, Jakim melancarkan Skuad Kembara Al-Amin yang akan turun padang menyantuni kumpulan asnaf, B40 dan barisan hadapan sepanjang bulan Ramadan ini. -Bernama

Tiada ulasan: