Rabu, 21 April 2021

Hamid Bador tegaskan tidak kenal individu dakwa ‘pegang’ KPN

ainulillia

Sudah jadi kebiasaan sindiket lepas kata-kata demikian untuk gertak

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, beliau sama sekali tidak mengenali individu yang ‘memetik’ namanya dalam kejadian berkaitan dua pekerja lelaki yang dipukul secara bergilir, kerana berpuasa.

Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan sindiket untuk melepaskan kata-kata sedemikian bagi menggertak seseorang.

“Memang saya tidak kenal dia. Agaknya memang menjadi kebiasaan mereka untuk guna nama sesiapa di Polis Diraja Malaysia untuk menakut-nakutkan,” katanya seperti dilapor Utusan, hari ini.

Terdahulu, dua pengawal peribadi membuat laporan polis selepas mereka dipukul majikan dan beberapa suspek lain pada Selasa, 14 April lalu kerana berpuasa.

Rakan majikan turut mengugut mereka jika mahu membuat laporan dan mendakwa KPN ‘dipegang’ olehnya.

“Saya sudah cakap jangan puasa. Siapa yang bayar gaji you? Saya ke atau you punya Allah? You tahu ke siapa saya? Itu Allah tak boleh jaga saya. Saya berhenti (pecat) you orang nanti. You orang minta Allah bayar you punya gaji.”

Kedua-dua mangsa kemudian berhasrat keluar dari tempat itu tetapi dihalang oleh suspek di mana mangsa pertama dilempang di bahagian muka, manakala mangsa kedua pula ditarik rambutnya. 

“You orang mau complaint saya ke? Itu IGP (Ketua Polis Negara) saya pegang,” kata suspek. 

Susulan itu, sebanyak lima individu ditahan bagi membantu siasatan membabitkan empat di Klang Selatan manakala seorang di Kuala Lumpur kerana terlibat dalam kes pukul dua pegawal peribadi.

Penahanan itu telah membongkar kepada penemuan 100 kilogram jongkong emas dalam rumah salah seorang suspek di Bukit Tinggi.

Turut ditemukan adalah 12,500 keping kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM28.25 juta.

Tiada ulasan: