Khamis, 22 April 2021

Cabaran pelajar Malaysia berpuasa 16 jam, suhu 41 darjah Celsius di perantauan

amirul hakim
Mohamad Amirul Hakim, pelajar Malaysia di Sudan. - Gambar FB Mohamad Amirul

BOLEH umat Islam di negara kita amat beruntung. Ini kerana tempoh menjalani puasa tidak terlalu lama dan juga sentiasa berada dalam keadaan yang selesa sama ada di rumah, pejabat atau sekolah.

Bagaimanapun, bagi rakyat Malaysia yang di perantauan, terutama para pelajar, mereka perlu menjalani ibadat puasa dalam suasana persekitaran budaya berbeza dan ia menjadi satu cabaran besar apatah lagi ketika dunia bergelut dengan pandemik COVID-19.

Misalnya, bagi mereka yang berpuasa di benua Afrika, keadaannya sangat mencabar kerana cuaca panas yang mencecah 41 darjah Celsius ketika ini dan perlu menjalani ibadah itu bagi tempoh 15 hingga 16 jam sehari.

Pelajar tahun dua Universiti Antarabangsa Afrika di Sudan, Muhammad Amirul Hakim, 20, berkata mengharungi cuaca panas serta tempoh berpuasa yang panjang merupakan cabaran utama sepanjang Ramadan sekali gus memberikan pengalaman manis dan pahit.

“Puasa di benua Afrika cepat letih, cepat dahaga. Kalau sebelum ini di Sudan, musim puasa lagi meriah daripada sambutan Aidilfitri. Masyarakat di Sudan selalu mengajak buka puasa di rumah ataupun di kawasan lapang tanpa mengira bangsa dan kaum.

“Solat Tarawih juga tidak semeriah dulu sebab prosedur operasi standard (SOP) COVID-19,” kata pelajar Jurusan Syariah dan Undang-Undang itu kepada Bernama melalui interaksi di laman Facebook hari ini.

Amirul juga berkongsi pengalaman kawasan didiaminya tiada bekalan elektrik pada waktu siang berikutan arahan kerajaan Sudan dan ini menyukarkan mereka untuk melakukan aktiviti pada sebelah pagi termasuk bersahur.

Bernama.com melaporkan, sementara di Sweden pula, Rini Sabir Massgard berkata pada tahun ini, beliau dan keluarganya berpuasa selama 17 jam berikutan musim bunga di negara itu.

“Siang semakin panjang. Bangun sahur pada 1 pagi dan berbuka pada 8.30 malam. Namun masih boleh urus kerana sekarang bekerja dari rumah dan cuaca tidak panas sangat. Cuma menunggu untuk waktu berbuka puasa sangat lama,” kata beliau yang sudah lapan tahun menetap di negara itu.

Pengurus Kumpulan sebuah syarikat swasta itu menjelaskan bahawa berpuasa sewaktu pandemik tiada beza, cuma orang ramai digalakkan supaya tidak berkumpul melebihi lapan orang.

Katanya suasana Ramadan di barat tidak mempunyai sebarang perbezaan dengan hari biasa dan tiada penganjuran Bazar Ramadan mahupun Solat Tarawih seperti di Malaysia.

Nur Hananie Azhar, yang merupakan pelajar jurusan Syariah Universiti Al al-Bayt di Mafraq, Jordan pula berkata beliau mampu menunaikan ibadat puasa dengan sempurna walaupun terpaksa menjalani perintah berkurung pada setiap Jumaat.

Pelajar berusia 19 tahun itu berkongsi bahawa berpuasa selama 15 jam dengan cuaca panas yang mencecah suhu 35 darjah Celsius tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan ibadat mulia tersebut.

“Cabaran ketika ini ialah kami tidak dapat menunaikan solat fardu mahupun tarawih di masjid berikutan pandemik.

“Tiada Bazar Ramadan dan sambutan Aidilfitri juga kurang meriah kerana rakyat Jordan menyambut Hari Raya Haji dengan meriah,” katanya.

Umat Islam di Sudan, Sweden dan Jordan mula berpuasa pada 13 April lepas sama seperti di Malaysia.

Tiada ulasan: