Selasa, 20 April 2021

Bayar dividen KWSP hingga 75 tahun tidak benar

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan kenyataan mengenai pembayaran dividen KWSP sehingga usia 75 tahun yang tersebar tidak lagi terpakai.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, berkuat kuasa 1 Januari 2017, ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan sehingga usia 100 tahun.

Katanya, langkah itu diperkenalkan susulan pindaan ke atas Akta KWSP 1991 yang bertujuan membolehkan ahli yang memilih untuk mengekalkan simpanan di KWSP selepas persaraan dapat manfaat gandaan dividen sehingga semua simpanan dikeluarkan oleh ahli.

"KWSP akan memaklumkan kepada ahli dan hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut apabila ahli berumur 100 tahun kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

"Sebarang tuntutan selepas pemindahan itu boleh dibuat melalui Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

"KWSP menasihati ahli supaya berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial dan sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat itu," menurut kenyataan itu.

Sebarang maklumat lanjut, ahli digalakkan merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, kunjungi laman web rasmi di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

Tiada ulasan: