Rabu, 21 April 2021

2 wanita palsukan borang rentas negeri ditahan

Bentong: Dua wanita ditahan selepas didapati memalsukan borang rentas negeri di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Bentong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pegawai dan anggota yang bertugas di SJR terbabit menahan kenderaan dinaiki kedua wanita berkenaan masing-masing berusia 22 tahun pada 6.45 petang untuk pemeriksaan.

"Difahamkan, kedua-dua wanita terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang.

"Ketika pemeriksaan dilakukan terhadap dokumen perjalanan rentas negeri mereka didapati borang berkenaan agak meragukan dan disyaki dipalsukan oleh mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, siasatan awal mendapati cap dan tandatangan Ketua Polis Balai yang meluluskan permit terbabit disyaki dipalsukan dan dipercayai dibuat secara 'scan' selain tulisan turut dipinda.

"Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik seorang daripada mereka mendapati ada salinan borang kosong rentas negeri siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka mendapati seorang daripadanya positif dadah jenis ganja," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen.

"Bagi suspek yang didapati positif dadah, dia akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Saya mahu mengingatkan orang ramai yang mahu membuat perjalanan rentas negeri supaya tidak mengambil tindakan dengan mengemukakan borang yang diubah suai dengan niat memalsukan dokumen berkenaan.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan akan terus mengetatkan pemeriksaan di semua SJR antara negeri di daerah ini membabitkan sempadan Selangor serta Negeri Sembilan.

"Ia bagi memastikan penularan Covid-19 di Pahang dapat dikawal memandangkan Bentong adalah laluan utama ke Pantai Timur terutamanya dari Lembah Klang," katanya.

Tiada ulasan: