Selasa, 9 Mac 2021

PKPD empat Felda tamat hari ini, lebih awal daripada jadual

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di empat kawasan Felda di Maran, Pahang akan ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran Pahang itu sepatutnya dijadual tamat pada 15 Mac depan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes positif hanya dikesan dalam Felda Ulu Jempol.

Katanya, semua kontak rapat dan kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenal pasti, disampel dan diasingkan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 471 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif hanya satu kes telah dilaporkan yang melibatkan lokaliti ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju menamatkan PKPD Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang pada 8 Mac 2021, lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: 442 ingkar SOP PKP, aktiviti di pusat hiburan tertinggi

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memberitahu, seramai 517 individu telah ditahan atas kesalahan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) dengan daripada jumlah itu, seramai 513 dikompaun dan empat lagi direman.

Beliau berkata, antara kesalahan yang direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal (202); gagal menyediakan peralatan, merekod diri dan pelanggan (95) dan tidak memakai pelitup muka seramai 66 orang.

Ismail Sabri berkata, 64 lagi ditahan atas sebab aktiviti pusat hiburan, 64 disebabkan rentas daerah/negeri tanpa kebenaran; premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (18); keluar rumah tanpa alasan munasabah (1) dan lain-lain kesalahan seramai 7 orang.

“Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 63,955 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

“Seramai 3,155 pasukan pematuhan melibatkan 14,038 anggota telah membuat pemantauan di 5,698 buah restoran, pasar raya (4,539), bank (2,482), penjaja (3,992), pasar awam/tani (136), kilang (2,306) dan pejabat kerajaan (896).

“Turut dipantau ialah tempat ibadah (366), tempat riadah (17,756), terminal pengangkutan darat (3,301), terminal pengangkutan air (1,699) dan terminal pengangkutan udara (574),” jelas beliau.

Tiada ulasan: