Jumaat, 26 Februari 2021

RM3.88 juta kompaun langgar PKP di Melaka

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
RAHMAD Mariman (dua dari kiri) mengingatkan pelanggan di sebuah kedai makan mengenai pematuhan SOP dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Pematuhan PKPB di Jalan Hang Tuah, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Sebanyak RM3.88 juta kompaun telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan hasil pemantauan dan pemeriksaan penguat kuasa JKN melibatkan 18,350 premis. 

“Daripada jumlah pemeriksaan itu sebanyak 389 notis amaran dan 3,880 kompaun dikeluarkan JKN.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), antaranya membenarkan pelanggan makan di premis, tiada saringan suhu, tidak menyediakan kod QR MySejahtera serta buku daftar pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yang turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr. Ismail Ali.

Rahmad menambah, daripada jumlah keseluruhan RM3.88 juta kompaun yang dikeluarkan, hanya RM1.78 juta sahaja yang telah dilunaskan pesalah.

“Sehingga kini sebanyak 265 kertas siasatan sudah dikemukakan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pendakwaan.

“Daripada jumlah tersebut, 16 kes telah didakwa di mahkamah dengan seorang daripada individu dikenakan hukuman penjara kerana gagal membayar denda,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: