Khamis, 25 Februari 2021

Pemimpin ‘takut’ puak rasis punca vernakular kekal wujud?

Oleh Athirah Huda Zalhe

Lebih 60 tahun tadbir negara, kerajaan dulu gagal bentuk perpaduan

BANGI – Walaupun sudah melalui pelbagai fasa perubahan kerajaan, Malaysia masih kekalkan ‘perjanjian lama’ mempertahankan kewujudan sekolah vernakular.

Biarpun sistem vernakular masih dipertahankan sehingga sekarang, kerajaan yang sebelum ini pernah mentadbir negara selama lebih 60 tahun masih belum mampu membentuk perpaduan sebenar.

Ini terbukti apabila tiba pilihan raya umum, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil akan terus diluluskan serta dibina, kata Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Izzat Johari.

Lebih malang, apabila ‘tradisi’ itu terus bersambung dalam kerajaan baharu – yang hanya bertahan selama 22 bulan sahaja.

“(Kerajaan itu) malah mempergunakan gabungan NGO yang paling rasis iaitu Dong Zong untuk meminta peruntukan disalurkan kepada sekolah-sekolah vernakular.

“Bukan itu sahaja, kolej-kolej swasta yang melibatkan bangsa Cina turut mendapat habuan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Izzat berkata, kekecewaan itu disangka berakhir selepas kerajaan sekarang – Perikatan Nasional (PN) – berkuasa, namun ia masih tidak mampu membawa perubahan kepada sistem pendidikan satu aliran.

“Kononnya kebangkitan Melayu, Islam cuba membuat perubahan turut ‘terciduk’ dan takut dengan desakan Dong Zong apabila meluluskan sejumlah peruntukan untuk membina lebih banyak sekolah vernakular.

“Lebih menyedihkan apabila ada pihak yang cuba memberi cadangan mahu memperkasa sekolah vernakular, sedangkan partinya dulu lantang membantah sekolah vernakular.

“Akhirnya, kini beliau telah dilantik senator. Itulah habuan dunia membelakangkan kepentingan rakyat,” dakwanya.

Malu dengan sikap majoriti pemimpin sekarang, beliau mendakwa, mereka masih ‘diperkuda’ dengan puak rasis sehingga lupa terdapat banyak sekolah kebangsaan yang wajib diberi perhatian.

“Ada sesetengah tempat, sekolah tidak dapat menampung jumlah murid yang terlalu ramai.

“Saya berpandangan rakyat mesti fikirkan semula adakah ini ciri-ciri pemimpin yang hendak dipilih, takut dan diperkuda oleh golongan rasis negara? Adakah relevan pemimpin ini dipilih semula?,” katanya.

Tiada ulasan: