Jumaat, 26 Februari 2021

NGO: Kanak-kanak pencari suaka turut dihantar pulang, terpisah dengan keluarga

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sekurang-kurangnya dua kanak-kanak pencari suaka terpisah daripada keluarga mereka dan dihantar pulang ke Myanmar, dakwa Jaringan Hak Asasi Pelarian Asia Pasifik (APPRN).

Dua kanak-kanak itu sebahagian daripada sejumlah 1,086 warga Myanmar yang dihantar pulang dengan kapal tentera laut negara itu awal minggu ini, menurut pertubuhan itu lagi.

"APRRN mendapat pengesahan yang sekurang-kurangnya dua kanak-kanak pencari suaka dihantar pulang ke Myanmar, bersama-sama 1,086 yang lain, dan dipisahkan daripada keluarga mereka.

"Kerajaan Malaysia bukan saja melanggar perintah Mahkamah Tinggi, tetapi telah meletakkan nyawa-nyawa dalam bahaya," dakwa APRRN dalam kenyataan di Twitter.

Dalam satu kenyataan bersama, APRRN, Asian Forum for Human Rights and Development dan Asean Parliamentarians for Human Rights and the International Detention Coalition dengan tegas menggesa kerajaan Malaysia untuk memberi akses penuh dan segera kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ke pusat tahanan imigresen di Malaysia.

"Kami juga menggesa kerajaan menyiasat penghantaran pulang 1,086 individu ke Myanmar pada 23 Februari, yang melanggar arahan penangguhan sementara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," kata kenyataan itu.

Terdahulu, seramai 1,200 warga Myanmar dilaporkan akan dihantar pulang ke negara itu, yang kini sedang dalam kemelut politik.

Ia selepas tentera merampas kuasa daripada kerajaan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, awal bulan ini.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud, semua yang dihantar pulang tidak dipaksa, tetapi telah bersetuju dengan langkah itu.

Dalam pada itu, APPRN berkata kerajaan Malaysia masih belum memberi maklumat berkenaan lokasi 114 lagi yang belum dihantar pulang.

"Pegawai imigresen berkata 1,086 yang dihantar pulang itu tidak melibatkan pencari suaka politik dan pelarian Rohingya.

"Bagaimanapun ada risiko besar yang kumpulan itu turut melibatkan pelarian dan pencari suaka politik, termasuk kanak-kanak," kata APRRN.

Peguam yang mewakili Jabatan Imigresen, Ahmad Hanir Hambaly mendakwa perintah mahkamah dikeluarkan pada tengah hari 23 Februari, sedangkan langkah penyerahan kepada tentera Myanmar telah dibuat pada pagi hari yang sama.

Perintah itu dikeluarkan susulan permohonan semakan kehakiman oleh Amnesty International Malaysia and Asylum Access Malaysia.

Dua pertubuhan itu berkata memiliki maklumat berkenaan tiga pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR serta 17 individu bawah umur yang termasuk dalam kumpulan yang akan dihantar pulang.

Sebaik selepas pihak berkuasa mengumumkan tentang rancangan penghantaran pulang, sejumlah NGO telah menggesa agar langkah itu dipertimbang semula.

Antaranya Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (Reach) yang menggesa kerajaan agar mengambil pendekatan berhati-hati ekoran wujud kebimbangan terhadap keselamatan etnik Rohingya yang mungkin berdepan penindasan sebaik tiba di sana.

UNHCR pula dipetik Reuters sebagai berkata, sekurang-kurangnya enam individu yang berdaftar dengannya dipercayai termasuk dalam senarai yang akan dihantar pulang.

PH juga berharap langkah itu dipertimbang semula memandangkan konflik yang sedang tercetus mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.

Tiada ulasan: