Jumaat, 26 Februari 2021

Lima termasuk dua kanak-kanak sesat ditemui selamat

BALING: Pasukan bomba dan penyelamat berjaya menemui lima individu termasuk dua kanak-kanak yang dipercayai tersesat di kawasan bukit di Kampung Tandop, di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 7.49 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling yang diketuai Pegawai Operasi Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud tiba di lokasi jam 8.22 malam.

"Mangsa yang sesat terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki berusia enam dan 11 tahun, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan dua lelaki dewasa berusia 36 dan 49 tahun.

"Operasi turut disertai lapan anggota termasuk penyelia dan sebuah jentera serta dua kenderaan milik JBPM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, di dapati lima mangsa terbabit dipercayai tersesat dan salah seorang seorang daripada mereka mengalami kekejangan kaki di atas kawasan bukit, lingkungan jarak 400 meter dari kawasan air terjun.

"Berdasarkan maklumat, kesemua terbabit dipercayai melakukan aktiviti mendaki di Bukit Kampung Tandop.

"Kesemua mangsa berjaya diturunkan oleh pasukan penyelamat dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Baling dengan menaiki Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans KKM," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.30 malam tadi.

Beliau berkata, hanya kanak-kanak berusia 11 tahun itu mengalami kecederaan pada kaki kanan manakala empat yang lain tidak mengalami kecederaan.

Tiada ulasan: