Sabtu, 27 Februari 2021

Kes ingkar SOP turun semula kepada 326 individu

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun semula setelah naik sehari sebelumnya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 326 individu ditahan semalam berbanding 460 yang diberkas kelmarin dan 253 lagi yang diberkas pada Selasa lalu.

“Daripada jumlah itu, 320 dikompaun, manakala enam direman dengan kes paling tinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri sebanyak 106,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Diikuti tiada pelitup muka (77), gagal jarak fizikal (43), rentas kawasan tanpa kebenaran (35), aktiviti pusat hiburan (23), premis dibuka lebih masa (22), kegiatan perjudian (7) dan lain-lain (13).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 76,638 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,356 pasukan di seluruh negara.
 
Ismail Sabri menambah, 14,921 anggota itu semalam memantau 5,815 restoran, 4,463 pasar raya, 3,926 bank, 3,353 rumah ibadah, 2,542 penjaja, 2,007 pasar awam dan 1,834 kilang.

Turut dipantau ialah 1,429 tempat riadah serta 954 pejabat kerajaan selain 1,167 terminal pengangkutan darat, 274 terminal pengangkutan air dan 148 terminal pengangkutan udara.

Tambahnya, seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak lima kenderaan darat dan empat bot dirampas selain 122 bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan perairan negara menerusi enam aktiviti penglihatan,” tegas beliau.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 470 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.
 
Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 83 operasi sanitasi awam dilaksanakan di negara ini semalam meliputi 31 zon merah, 11 zon jingga, 14 zon kuning dan dua zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 389 anggota bomba selain 110 anggota pihak berkuasa tempatan dengan dibantu penggunaan 72 buah jentera bomba di seluruh negara.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 702 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
 
“Sejumlah 7,367 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 76 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 714 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 122,731 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 571 peruncit, 154 pemborong dan 31 pengilang.
 
Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,486 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan cuma satu premis diberikan nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: