Ahad, 28 Februari 2021

Dua lelaki cuba lari ditahan bersama dadah

PADANG BESAR: Dua lelaki ditahan selepas polis merampas 9.82 gram (gm) dadah daripada mereka di Beseri, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Asisten Superintendan Mohd Rizal Emran, berkata kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi apabila polis dari JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan Beseri.

"Ketika rondaan dilakukan, pihak kami ternampak sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan sedang berada di sebuah stesen minyak di Jalan Kaki Bukit, berdekatan pekan Beseri.

"Ketika anggota polis cuba menghampiri kenderaan suspek untuk diperiksa, pemandu kereta itu bagaimanapun terus memecut laju melarikan diri menyebabkan polis terpaksa mengejar suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

"Suspek berjaya ditahan apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Kampung Darat, Beseri sekitar satu kilometer daripada lokasi stesen minyak mereka dikesan.

"Pemeriksaan terhadap suspek yang berusia 32 dan 24 tahun itu berjaya menemui empat paket plastik lutsinar serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 9.15 gm serta satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin berat 0.67 gm," katanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan: