Ahad, 28 Februari 2021

Dua beradik antara tiga maut kemalangan di Jalan Kuching

 BH ONLINE

Dua beradik dan seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuching dari arah Bulatan Segambut menghala ke Kepong malam tadi. -Foto NSTP/Ihsan PDRM
Dua beradik dan seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuching dari arah Bulatan Segambut menghala ke Kepong malam tadi. -Foto NSTP/Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR : Dua beradik dan seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuching dari arah Bulatan Segambut menghala ke Kepong, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah malam membabitkan kereta Proton Satria Neo dan pikap jenis Mazda BT 50.

Beliau berkata, mangsa yang maut ialah Lee Pan Nee, 45, dan adik lelakinya, Lee Veeran, 35, serta Muhammad Hafiz MD Isa, 32.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Satria Neo dipandu Muhammad Hafiz, datang dari arah Kepong menghala ke Bulatan Segambut hilang kawalan lalu melanggar batu penghadang di tengah jalan.

"Kereta itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki Pan Nee, dan adik lelakinya, Veeran.

"Akibat kemalangan itu mereka yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dah bedah siasat akan dibuat setelah keputusan ujian COVID-19 diperolehi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian adik-beradik itu yang berniaga ikan dalam perjalanan ke pasar borong untuk membeli ikan.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tiada ulasan: