Sabtu, 27 Februari 2021

432 ditahan ingkar PKP, termasuk tiada penjarakan fizikal

Seramai 106 orang ditahan semalam kerana tidak mengamalkan penjarakan 
fizikal.

PETALING JAYA: Polis menahan 432 individu yang mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam dengan 108 kes gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan mendahului kesalahan lain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 414 individu dikompaun dan 18 lagi direman.

Selain gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, katanya, kesalahan lain termasuk tiada penjarakan fizikal (106), tidak memakai pelitup muka (96), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (51), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42), aktiviti perjudian (18), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (10) dan lain-lain (1).

Beliau berkata, 27 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan dua bot/kapal serta sebuah kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam.

Katanya, seramai 131,455 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai 2020 hingga semalam menjalani kuarantin wajib di 77 hotel dan 12 institut latihan awam serta institusi pengajian tinggi swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,084 individu dikuarantin dan 123,622 orang dibenarkan pulang, manakala 749 lagi dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan.

Tiada ulasan: