Ahad, 28 Februari 2021

40 ditahan ketika berhibur

ISKANDAR PUTERI: Seramai 40 pengunjung termasuk seorang warganegara Vietnam ditahan ketika sedang berhibur di pusat hiburan di kawasan Jalan Jati 2, Taman Nusa Bistari Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam kejadian jam 12.10 malam itu, daripada 40 yang ditahan 29 adalah wanita manakala 11 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 59 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit mempunyai lesen hiburan karaoke yang sah.

"Penjaga premis yang bekerja sebagai pengurus dan juruwang, turut ditahan. Penjaga premis itu tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Hasil ujian air kencing dijalankan terhadap kesemua pekerja premis dan pelanggan, mendapati enam individu dikesan positif dadah jenis methamphetamin dan disiasat di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Semua 40 individu yang berada didalam premis itu dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak memakai pelitup mulut dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Sementara, wanita warga Vietnam turut disiasat di bawah seksyen 15(1)(c)Akta Imigresen 1959/1963," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Turut dirampas perkakasan hiburan seperti satu televisyen, dua mikrofon, satu video CD, satu pembesar suara, dua kertas disyaki senarai bilik yang dilanggan dan dua walkie talkie.

Tiada ulasan: