Ahad, 28 Februari 2021

25 kambing rentung

KEPALA BATAS: Kandang kambing di Jalan Permatang Kerai Besar, di sini, terbakar mengakibatkan 25 haiwan itu rentung, semalam.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran najis kambing yang dilakukan di bawah kandang berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.18 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Ketika tiba di lokasi, didapati kandang berkenaan sudah terbakar sebanyak 90 peratus dan strukturnya yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan cepat.

"Difahamkan oleh pemilik haiwan itu bahawa kejadian dipercayai berpunca daripada kerja pembakaran najis kambing yang dilakukan pada petang semalam," katanya ketika dihubungi, di sini.

Api berjaya dikawal pada jam 10.40 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.04 malam.

Tiada ulasan: