Khamis, 25 Februari 2021

21,408 Pegawai Perubatan, 697 Pegawai Pergigian kontrak ditawarkan pelarasan gred

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan permohonan untuk melaraskan gred Pegawai Perubatan kontrak Gred UD41 ke Gred UD43, dan Pegawai Pergigian kontrak Gred UG41 ke Gred UG44 berasaskan kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata pelarasan gred berkenaan akan membabitkan seramai 21,408 Pegawai Perubatan dan 697 Pegawai Pergigian.

Katanya, pelarasan gred itu akan ditawarkan menerusi sistem e-housemen dan e-dentist, bermula hari ini.

Beliau berkata, ia selaras kelulusan mengenai prinsip pelaksanaan urusan itu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Januari lalu, dan kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan serta persetujuan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), semalam.

"Notifikasi mengenai tawaran ini akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi e-mel masing-masing.

"Dengan pelarasan gred ini, diharapkan pegawai dapat meningkatkan lagi motivasi dan komitmen masing-masing untuk melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang, termasuk bersama membendung dan menangani pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, JPA pada 4 Februari dan Kementerian Kewangan pada 10 Februari lalu turut meluluskan permohonan untuk menyambung perkhidmatan kontrak 585 Pegawai Perubatan, 1,071 Pegawai Pergigian dan 1,966 Pegawai Farmasi.

Katanya, pemberitahuan mengenai tawaran itu juga akan dikemukakan kepada pegawai terbabit menerusi e-mel masing-masing.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata kerajaan bersetuju untuk menyelaraskan gred Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian berstatus kontrak itu selepas mengambil kira banyak permohonan daripada pelbagai pihak.

Selain itu, ia sebagai menghargai perkhidmatan diberikan kumpulan berkenaan, sekali gus membolehkan pegawai kontrak menerima emolumen setara pegawai lantikan tetap.

Tiada ulasan: