Khamis, 25 Februari 2021

1,001 masalah di Pasar Awam Batu Pahat

Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
MOHD. Rashid Hasnon (dua dari kiri) bersama wakil MPBP meninjau keadaan Pasar Awam Batu Pahat yang mula bermasalah termasuk tangki kumbahan tersumbat di Jalan 

BATU PAHAT: Ibarat rumah siap pahat masih berbunyi, ia sesuai untuk menggambarkan projek pembinaan Pasar Awam Batu Pahat, di sini yang kini mula ‘sakit’ dan menyusahkan orang ramai termasuk peniaga di situ.

Seorang peniaga sayur-sayuran, Jamainyah Hussin, 55, berkata, dia kecewa dan sedih dengan keadaan di pasar itu apabila terpaksa melakukan kerja tambahan membuang air sisa basuhan gerai lain serta kehilangan pelanggan.

“Dalam sehari tidak kurang lima enam kali saya dan anak lelaki yang berniaga di sini terpaksa membuang air basuhan gerai-gerai ikan yang memasuki gerai saya.

“Masalah ini mula terjadi selepas pihak berkenaan mengorek lantai dan membuat saluran longkang kecil menghala ke gerai saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga Bee Eng, 50, berkata, antara masalah yang timbul adalah kebocoran bumbung selain berpendapat tempat pemunggahan barang sepatutnya dibina di sisi jalan.

“Banyak tempat mengalami masalah kebocoran bumbung sehingga menyebabkan keadaan tidak selesa di pasar ini, apatah lagi tempat pemunggahan barang juga tidak sesuai pada lokasi sekarang,” katanya.

Bagi seorang pelanggan, Muhamad Ahmad Ali, 35, berkata, pasar berkenaan berada dalam keadaan elok hanya kira-kira setahun sahaja selepas beroperasi, sebelum beberapa masalah timbul.

“Usia pasar ini sekitar tiga tahun, masalah yang paling ketara adalah keadaan saluran dan tangki kumbahannya yang tersumbat, sekali gus mengakibatkan tandas di pasar berkenaan tidak dapat digunakan.

“Ada kalanya ketika waktu hujan, keadaan pasar ini seolah-olah banjir, ini kerana air yang bertakung ditambah dengan air hujan yang turun,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, pihaknya telah maklum dengan perkara berkenaan dan telah berbincang dengan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) untuk mengatasi masalah itu.

Kata beliau, pihaknya dimaklumkan ada tiga masalah utama di pasar terbabit iaitu tandas, saluran dan tangki kumbahan tersumbat serta masalah perparitan yang mengakibatkan air bertakung selain bahagian bumbung bangunan yang mula mengalami keretakan.

“Setelah berbincang dengan pihak MPBP, kita akan menggunakan wang cagaran daripada kontraktor untuk kerja-kerja baik pulih yang akan dilaksanakan dalam tahun ini juga, di mana anggaran kerja baik pulih ini sekitar RM600,000 hingga RM800,000.

“Kerja baik pulih ini akan dilaksana secara berperingkat bagi memastikan pasar ini masih terus dapat beroperasi dan akan menutup di bahagian yang dibaiki sahaja dari masa ke semasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: