Isnin, 11 Januari 2021

Suri rumah maut, 5 cedera kereta terbabas akibat pemandu mengantuk.

KERETA Proton Saga yang terbabas di Kilometer 21, Jalan Sitiawan-Teluk Intan di Lumut, Perak semalam. - IHSAN PDRM

LUMUT: Seorang suri rumah maut manakala lima cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 21 Jalan Sitiawan – Teluk Intan berhampiran Arcadia Estate dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Noratikah Syakira Azman, 22, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM) akibat kecederaan pada dada.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki enam sekeluarga hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar bahu jalan.

“Siasatan awal polis mengesyaki kereta dipandu suami mangsa yang berusia 29 tahun terbabas sendiri kerana mengantuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu yang juga seorang nelayan dan ibu mentuanya yang berusia 51 tahun, luka pada muka dan kaki.

Katanya, anak Noratikah Syakira berusia empat tahun dan duduk bersama mangsa di kerusi hadapan pula mengalami pendarahan dalaman pada kepala.

“Adik perempuan mangsa berusia 13 tahun pula cedera di kaki manakala anak saudara lelaki berusia 10 tahun luka pada kepala dan muka.

“Semua mangsa dibawa ke HSM untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tiada ulasan: