Isnin, 11 Januari 2021

Sungai Perak di Kuala Kangsar hampiri paras berjaga-jaga

Penduduk di sepanjang Sungai Perak diminta bersiap sedia menghadapi sebarang 
kemungkinan banjir. (Gambar Bernama)

KUALA KANGSAR: Paras air Sungai Perak di Dataran Lembah menghampiri bacaan berjaga-jaga berikutan taburan hujan yang banyak sejak awal bulan ini, terutama di kawasan empangan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohd Zolkafly Harun berkata, bacaan paras Sungai Perak adalah 32m, iaitu 1m menghampiri paras berjaga-jaga setakat 2 petang tadi.

“Kadar kenaikan paras air membimbangkan dan boleh mendatangkan bahaya jika tidak diuruskan dengan segera,” katanya selepas meninjau keadaan Sungai Perak di jeti Dataran Lembah.

Beliau berkata, bagi memastikan paras air di Empangan Bersia dan Kenering di Gerik berada pada paras selamat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat pelepasan terkawal sejak Khamis lalu.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan jumlah aliran air banyak, TNB terpaksa meningkatkan kadar pelepasan terkawal di stesen jana elektrik Chenderoh, Kuala Kangsar bagi mengimbangi paras air dengan jumlah aliran dari Empangan Kenering dan sungai lain.

Zolkafly memberi jaminan kerajaan negeri akan mengurus dan memastikan paras air di sepanjang Sungai Perak di paras terkawal serta selamat.

Beliau meminta semua pihak, terutamanya penduduk di sepanjang Sungai Perak bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir memandangkan musim tengkujuh dijangka berlarutan sehingga Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Zolkafly berkata, Terminal Bas Kuala Kangsar akan dinaik taraf tahun ini dan kerja itu dilaksanakan pihak swasta bersama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.

Tiada ulasan: