Isnin, 25 Januari 2021

PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan mulai esok

Sebanyak 43 kes Covid-19 membabitkan 40 tahanan dan tiga kakitangan Penjara Taiping 
direkodkan setakat 23 Jan lalu.

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangannya mulai esok hingga 8 Feb ini.

Katanya, ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di lokaliti itu.

“Sehingga 23 Jan lalu, sebanyak 43 kes positif Covid-19 direkodkan yang melibatkan 40 tahanan dan tiga kakitangan penjara,” katanya dalam kenyataan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini, termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga tidak dibenarkan.”

Ini kali kedua PKPD dilaksanakan di Penjara Taiping, selepas ia dikenakan sekatan pergerakan sama 22 Okt hingga 4 Nov lalu.

Sementara itu, Ismail berkata, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan 5,297 pekerja asing disaring untuk Covid-19 semalam dan 55 daripadanya didapati positif virus itu.

Setakat 1 Dis lalu, seramai 210,613 pekerja asing sudah disaring dengan 4,151 daripadanya disahkan positif.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 717 individu ditahan semalam kerana mengingkari arahan PKP.

Daripada jumlah itu, katanya, 642 individu dikompaun, 74 direman dan seorang lagi dijamin.

“Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (117), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (68), tiada penjarakan fizikal (235), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (96), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (73) dan lain-lain (128).”

Tiada ulasan: