Ahad, 24 Januari 2021

Percepatkan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid – Veeran

Kasthuri Jeevendran
Veeran-e1591270042429
Veeran

KUALA LUMPUR – Pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah rintis berikutan sesi persekolahan melalui kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sepatutnya sudah bermula.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) merangkap Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping, Veeran Muniandy, tanggungjawab itu patut dilakukan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Kata Veeran, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sudah membuat pengumuman ketika pembentangan Bajet 2021 November lepas.

“Sudah berbulan, sepatutnya syarikat-syarikat GLC dan GLIC ini sudah tampil menyumbang RM150 juta ringgit ke dalam Tabung CERDIK bagi pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis.

“Jika belum, desaklah semua syarikat-syarikat untuk menyerahkan sumbangan bagi kegunaan murid-murid terlibat.

“PdPR juga sudah bermula pada 20 Januari lepas, patutnya sumbangan komputer juga sudah diberikan, ini sangat penting untuk murid-murid,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Tengku Zafrul ketika pembentangan Bajet November lepas mendedahkan projek berkenaan akan diselia oleh Yayasan Hasanah.

Ia sejajar dengan norma baharu, yang mana pembelajaran secara dalam talian sudah menjadi satu amalan.

Jumlah 150,000 itu bersamaan dengan tiga peratus daripada anggaran 4.7 juta murid daripada keseluruhan 10,220 sekolah rendah dan sekolah menengah yang bakal menerima komputer riba terbabit.

Veeran juga senada dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu kerajaan  memberikan perhatian serius kepada kira-kira 4.7 juta murid lain di 10,220 sekolah rendah dan menengah yang berkemungkinan tidak memiliki sebarang peralatan bersesuaian untuk PdPR seperti telefon pintar atau komputer riba.

“Sangat penting untuk anak-anak kita tidak langsung ketinggalan dengan arus pendidikan dalam kalangan rakyat dalam suasana pandemik yang sudah masuk tahun kedua ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: