Sabtu, 23 Januari 2021

Peperiksaan awam tidak ditangguh

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

DR. HABIBAH ABDUL RAHIM

PUTRAJAYA: Semua peperiksaan awam yang bakal diduduki seramai 524,695 pelajar bermula 22 Februari ini tidak akan ditangguhkan dan kekal  berlangsung mengikut takwim ditetapkan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim berkata, bagi pelajar yang didapati positif Covid-19 atau dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit, mereka boleh menduduki peperiksaan selepas disahkan pulih sepenuhnya. 

Kata beliau, Kementerian Pendidikan telah mengadakan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi menentukan kategori pelajar yang akan menduduki peperiksaan sama ada dalam keadaan sihat, bergejala positif atau dikuarantin.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kumpulan pelajar yang akan menduduki peperiksaan sesi kedua, Kementerian menyediakan set kertas soalan berbeza dengan sesi pertama peperiksaan, namun, masih mengikuti kurikulum dan standard yang sama.

“Sekiranya berlaku apa-apa situasi yang tidak boleh dielakkan yang mana saya sendiri tidak tahu senario masa depan apa akan berlaku, kementerian akan mematuhi apa sahaja yang diputuskan kerajaan, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan kerana keselamatan dan kesihatan adalah lebih utama,” katanya dalam sidang akhbar secara sidang video di sini hari ini.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dijadualkan pada 22 Februari ini manakala peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula pada 8 Mac ini.

Habibah berkata, pihak kementerian juga tidak akan membuat sebarang bentuk perubahan terhadap peperiksaan tersebut walaupun mengambil kira situasi pengajaran dan pembelajaran ketika ini kerana peperiksaan SPM contohnya adalah diiktiraf oleh Cambridge setara dengan O Level.

Katanya, jika membuat sebarang perubahan itu, maka akan hilang pengiktiran tersebut dan pihaknya tidak mahu calon peperiksaan tahun 2020 tidak akan memperoleh pengiktirafan sijil mereka sekali gus menjejaskan peluang untuk meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi atau memasuki bidang kerjaya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun Kementerian merancang untuk melaksanakan sesi kedua peperiksaan, calon tidak boleh memilih untuk menduduki sesi mana yang dimahukan kerana pertimbangan hanya diberikan kepada mereka yang disahkan positif Covid-19 atau dikuarantin dengan bukti kukuh daripada doktor. 

Menurut beliau, sesi peperiksaan akan berlangsung lebih 14 hari, dan jika ada pelajar yang telah pulih daripada Covid-19 sebelum peperiksaan itu tamat, mereka boleh mengikuti mana-mana kertas berikutnya.

Katanya, pihak kementerian akan mengaturkan sesi lain bagi kertas-kertas yang tertinggal. 

“Sebarang takwim bagi perjalanan peperiksaan dan tarikh-tarikh lain seperti pemarkahan kertas dan keputusan peperiksaan tidak akan dianjak (walaupun ada peperiksaan sesi kedua itu) bagi membolehkan pelajar dapat membuat permohonan untuk memasuki pendidikan tertiari walaupun tempoh itu lebih pendek.   

“Kementerian telah pun merancang dan ada pendekatan lain berbanding terdahulu bagi mempercepatkan proses tersebut. Oleh itu kita masih boleh mengeluarkaan keputusan sebelum ada yang nak memohon ke universiti atau permohonan lain bagi meneruskan pelajaran,” katanya. 

Habibah pada masa sama amat menggalakkan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan ini dapat hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran bersemuka.

Namun, jika ada antara pelajar atau ibu bapa bimbang tentang jangkitan Covid-19, itu adalah hak mereka untuk tidak hadir tanpa menjejaskan peluang mereka untuk menduduki peperiksaan.

“Bagaimanapun, kehadiran murid ke sekolah sejak dibuka tiga hari lalu amat menggalakkan dan hari pertama merekodkan 95 peratus, mungkin kerana kementerian mengambil langkah berjaga-jaga untuk menggalakkan mereka hadir pembelajaran secara bersemuka.

“Langkah ini juga supaya boleh meningkatkan motivasi murid dan mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan pada 22 Februari ini, namun yang paling utama pelajar melalui proses pembelajaran secara selamat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: