Sabtu, 23 Januari 2021

Panggil polis ‘babi’, seorang lelaki ditahan

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
WARI KIEW

KANGAR: Tindakan biadab seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri membawa padah apabila ditahan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 1 Jalan Datuk Wan Ahmad di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wari Kiew berkata, lelaki berusia 25 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 10 pagi pada sekatan jalan raya itu kerana tidak memakai tali pinggang kaledar.

Katanya, anggota bertugas mengarahkan kereta jenis Perodua Kancil tersebut berhenti di bahu jalan dan pada masa sama anggota JPJ mengeluarkan notis saman kepada lelaki itu yang tinggal di Kampung Nisam, dekat sini.

“Bagaimanapun, lelaki tersebut enggan tandatangan pada notis saman tersebut, malah berlari ke arah anggota polis dan menjerit dengan kata-kata kesat dan memanggil anggota tersebut babi.

“Mendengar kata-kata tersebut, polis membuat tangkapan ke atas lelaki itu atas kesalahan menghalang penjawat awam serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota bertugas,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan lelaki itu direman sehari pada hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: