Isnin, 11 Januari 2021

Selepas Tok Pa, Rina pula positif Covid-19

MGF29122020_SUMBANGAN-KORPORAT_07
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun. foto SYAFIQ AMBAK

PUTRAJAYA – Selepas Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad – seorang lagi menteri, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula telah disahkan positif Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menerima keputusan ujian saringannya malam tadi.

Pejabat menteri berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata, Rina menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Putrajaya semalam.

“Kini Rina Harun dimasukkan di Hospital Sungai Buloh pada 11 pagi hari ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut.

“Beliau akan mematuhi segala garis panduan berkaitan jangkitan Covid-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” kata kenyataan yang sama.

Kementeriannya juga memaklumkan Ahli Parlimen Titiwangsa itu memohon maaf jika perkara berkenaan menimbulkan kesulitan dan keresahan kepada semua dan memohon agar Allah mempermudahkan segala urusannya.

“Beliau juga berjanji memastikan semasa ketiadaan beliau, kementeriannya akan meneruskan kerja-kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan untuk kumpulan sasar dan segala urusan pengoperasian kementerian akan tetap berjalan seperti biasa,” tegasnya.

Semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin mengesahkan semua menteri Kabinet termasuk semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang menghadiri Mesyuarat parti Bersatu bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta menjalani ujian saringan Covid-19.

Ia rentetan Mustapa disahkan positif Covid dan dimasukkan ke hospital di Kelantan.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: