Ahad, 10 Januari 2021

Khabar angin PKP: Rakyat Sabah tak panik

Pegawai KPDNHEP Sabah membuat pemeriksaan barangan keperluan di pasar
 raya di negeri itu. (Gambar KPDNHEP Sabah)

KOTA KINABALU: Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, pembelian panik tidak berlaku di negeri itu susulan khabar angin perintah kawalan pergerakan (PKP) bakal dikuatkuasakan semula tidak lama lagi.

Katanya, KPDNHEP Sabah, semalam, membuat pemantauan di 192 pasar awam, 13 pasar raya serta 140 kedai runcit dan pasar mini di seluruh Sabah dan mendapati tiada pembelian panik seperti didakwa.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya turut mendapati bekalan keperluan asas mencukupi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit tanpa sebarang pembelian luar biasa dikesan.

“Antara barangan sentiasa dipantau membabitkan bekalan barangan keperluan asas termasuk barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.

“Pemantauan ini dilakukan sejak bermulanya PKP pada Mac 2020 hingga kini, dan perintah kawalan pergerakan bersyarat masih berkuat kuasa hingga 14 Januari 2021 di Sabah.

“Seramai 200 pegawai penguat kuasa dan 90 pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah terbabit dalam tugas pemantauan ini,” katanya.

Georgie berkata, KPDNHEP Sabah juga akan terus memastikan peniaga mematuhi undang-undang menerusi pemeriksaan harian.

Katanya, KPDNHEP Sabah turut melantik 170 peruncit dan 89 pemborong daerah terpilih di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di negeri ini.

“Kedudukan bekalan barang keperluan asas berdasarkan peruncit dan pemborong yang dilantik di setiap daerah di Sabah ini akan menjadi penanda aras bagi bekalan barang keperluan asas di daerah-daerah berkenaan.

“Ketika PKPB yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 hingga 14 Januari, KPDNHEP Sabah mengaktifkan bilik gerakan di seluruh cawangan untuk menerima sebarang aduan dan pertanyaan khususnya berkaitan dengan bekalan dan harga barangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik kerana kedudukan bekalan barangan keperluan asas serta barang kawalan mencukupi di negeri itu.

Selain itu, beliau memberi amaran supaya peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan penularan jangkitan Covid-19 ketika ini.

Tiada ulasan: