Sabtu, 9 Januari 2021

Jangan risikokan nyawa anak orang! Doktor kongsi 6 perkara ketika ziarah bayi baru lahir.

 
Sistem imun bayi yang baru dilahirkan masih belum matang dan ini memudahkan mereka 
mendapat jangkitan. (Gambar Rawpixel)

Menjadi lumrah masyarakat akan teruja bila mendengar kelahiran baru dari keluarga mahupun kenalan. Sifat bayi yang comel membuatkan ramai yang ingin mendukung, mencium atau menggomolnya.

Namun, harus diingat, sifat keterujaan kita itu mungkin boleh memberi risiko yang membahayakan nyawa si kecil. Ini kerana sistem imun bayi yang baru dilahirkan masih belum matang dan ini akan memudahkan mereka mendapat jangkitan.

Jadi, sebelum bertandang melawat bayi yang baru lahir, persiapkan diri dengan adab dan langkah berjaga-jaga.

Kepada yang masih belum tahu, mari ikuti tips dan perkongsian di Twitter daripada pengamal perubatan pediatrik, Dr. Redza Zainol tentang beberapa perkara yang tidak patut dilakukan ketika melawat bayi yang baru lahir. 

Tidak perlu mengagah bayi

Sudah menjadi tabiat dan keseronokan untuk mengagah bayi atau bermain ‘cak-cak’.

Sebenarnya di usia ini bayi lagi pandai untuk bermain, malah penglihatan mereka pun sekadar bayangan saja.

Jadi, hentikan tabiat itu, kerana bayi baru lahir hanya nampak bayangan muka anda saja.

Jangan pegang dan cium bayi

Jangan suka-suka pegang dan cium bayi tanpa izin dari ibu dan bapanya. Ini kerana sistem imun bayi yang baru lahir ini belum matang, jadi mudah dijangkiti kuman.

Walau kuman yang banyak terdapat pada orang dewasa tidak memberi gejala yang teruk tetapi kepada bayi ia mungkin mampu mengancam nyawa.

Maka itu, sebelum mahu melawat bayi pastikan diri kita bersih dahulu, sebaiknya cuci tangan dan sanitasi terlebih dahulu jika ingin menyentuh bayi.

Jangan sibuk tegur apa pun kekurangan bayi

Jangan tegur bayi jika anda melihat matanya juling. Kebanyakan bayi, kedudukan matanya akan menjadi normal semula selepas berusia empat bulan.

Jika keadaan mata masih juling selepas berumur empat bulan, ibu bapa boleh merujuk kepada doktor mata.

Jadi, jagalah perkataan dan bicara semasa melawat agar tidak mengecilkan hati kedua orang tuanya.

Kurangkan beri tips kepada ibu muda

Seterusnya, kurangkan bagi tips kepada ibu muda, kecuali dia ditanya untuk berkongsi pengalaman.

Tetapi sebenarnya yang lebih penting ialah sokongan moral dan mental kerana dengan adanya kita di situ cukup untuk membuatkan si ibu rasa selesa.

Harus diingat, setiap orang menggunakan kaedah berpantang dan penjagaan bayi yang berbeza. Oleh itu, janganlah memandai-mandai dan merasakan pendapat kita selalunya betul.

Perokok tolong jauhi bayi!

Pantang larang yang ini pula khas buat si perokok. Ini antara yang bahaya, kerana perokok mempunyai risiko membawa “third hand smoke” kepada bayi yang bermaksud partikel asap rokok pada badan perokok tu boleh melekat pada kain bedung dan baju bayi.

Maka, bayi yang terdedah pada “third hand smoke”, berisiko untuk mendapat jangkitan paru-paru, jangkitan telinga dan kematian secara tiba-tiba ketika tidur (SIDS). Jadi, perokok sila jauhkan diri anda daripada bayi!

Berilah peluang bayi tidur

Akhirnya sekali, ini antara yang paling selalu kita lakukan. Bayangkan si ibu berjam-jam menyusukan anaknya agar tidur lena, tetapi datang sahaja tetamu terus mengejutkan bayi.

Memang boleh membuatkan si ibu naik angin dan tertekan. Jadi, jika sudah melihat situasi ibu itu, tahanlah diri dan biarlah si kecil tidur. Kesian si ibu terpaksa bersengkang mata kalau si anak mula merengek sampai ke pagi.

Oleh itu, kawal tindakan, adab dan mulut kita, semoga kita tidak menjadi penyebab dan punca mengundang bahaya kepada kesihatan bayi. Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Tiada ulasan: