Khamis, 21 Januari 2021

Ebit Lew sumbang tablet kepada pelajar

Ebit Lew memeriksa tablet yang dibelinya untuk dihadiahkan kepada pelajar yang 
perlu menyertai kelas dalam talian. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pendakwah bebas dan dermawan, Ebit Lew membeli 100 tablet untuk dihadiahkan kepada pelajar yang perlu menghadiri kelas dalam talian.

Lew yang giat membantu golongan memerlukan berkata, pelajar yang benar-benar memerlukan tablet boleh menghubunginya di talian 017 5870294.

“Semoga menjadi asbab kebaikan,” tulisnya di Facebook.

Kemurahan hati Lew itu menyusul sehari selepas pelajar sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan baru menerusi kelas dalam talian susulan lonjakan kes Covid-19.

Ia juga menyusul beberapa hari selepas seorang bekas timbalan menteri pendidikan menggesa Putrajaya menjelaskan rancangannya untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan penutupan sekolah, termasuk bila ia akan memberikan 150,000 komputer riba yang dijanjikan dalam belanjawan persekutuan.

Teo Nie Ching berkata, Putrajaya sebelum ini mengumumkan syarikat berkaitan kerajaan akan menyumbang RM150 juta untuk menyediakan komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah.

Katanya, tinjauan Kementerian Pendidikan membabitkan 670,000 ibu bapa pada tahun lalu mendapati 36.9% daripada kira-kira 900,000 pelajar tidak mempunyai sebarang peranti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Semalam, bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan Kementerian Pendidikan mengenai kegunaan dana bawah belanjawan tahunan untuk memudahkan pembelajaran dalam talian bagi sesi persekolahan baru.

Ini selepas beliau melihat ramai ibu bapa berkongsi gambar di media sosial menunjukkan anak mereka menyertai kelas dalam talian menggunakan telefon pintar, bukannya komputer riba.

Syed Saddiq, yang bulan lalu melancarkan kempen #1keluarga1laptop bagi setiap keluarga di Muar, kawasan Parlimennya, memiliki sebuah komputer riba untuk kegunaan anak, turut mempertikaikan kelewatan mengagihkan komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah.

Tiada ulasan: