Isnin, 25 Januari 2021

Cacat penglihatan tak patah semangat suami isteri buta

Oleh NIK NAIZI HUSIN
PASANGAN suami isteri yang cacat penglihatan, Senapi Hashim dan Roshana Ismail di beranda rumah sewa mereka di Kampung Paya Kecik, Temerloh, Pahang. – FOTO/NIK NAIZI HUSIN

TEMERLOH: Biarpun kebun sa­yur-sayuran milik pasangan cacat penglihatan, Senapi Hashim, 61, dan isteri, Roshana Ismail, 56, di Kampung Paya Kecik di sini musnah keseluruhannya akibat musibah banjir baru-baru ini, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mengusahakannya kembali.

Bagi Senapi, walaupun masih bersedih dengan kejadian yang menimpa keluarganya, namun dia dan isteri tetap berfikiran positif dengan bencana yang dialami.

“Memang saya kehilangan usaha saya sebelum ini iaitu kebun sayur seperti bayam dan kangkung kerana semuanya musnah oleh banjir, namun ia tidak harus difikirkan secara negatif, saya masih yakin bahawa peristiwa seperti ini ada hikmahnya.

“Sekarang mungkin tiada apa yang tinggal kerana hasil usaha saya semuanya musnah, namun mungkin selepas ini, tanahnya akan menjadi lebih subur dan tanaman saya mungkin lebih banyak hasil,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tanah kebunnya di Kampung Paya Kecik di sini semalam.

SENAPI Hashim meninjau kebun sayurnya di Kampong Paya Kechik, Temerloh, yang musnah kesemuanya selepas ditenggelami air banjir lebih seminggu. – FOTO/NIK NAIZI HUSIN

Kejadian banjir baru-baru ini menyebabkan Senapi dan keluarganya terpaksa berpindah randah kerana lokasi perpindahan mangsa pertama di Surau Al-Marjan juga tenggelam dan terpaksalah dia dan keluarga berpindah ke rumah rakannya di kawasan selamat.

Walaupun mempunyai tiang, namun air banjir yang datang terlalu cepat menenggelamkan rumah sewa Senapi sehingga paras lutut di dalam rumah.

Dianggarkan, kawasan per­kampungan itu dinaiki air se­dalam tiga meter selama kira-kira seminggu.

Mengulas tentang musibah banjir itu, Senapi berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dia dan keluarganya selamat.

“Semua barang-barang dalam rumah seperti peti ais, televi­syen, katil rosak dan sudah pun dibakar namun sudah dapat yang baharu hasil derma orang ramai, jiran dan kerajaan, terima kasih,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengharapkan agar ketiga-tiga anaknya iaitu Nor Shafikah, 21, Mohd. Shafie, 19, dan Norbaiti, 17, menjadi bertambah matang dan memahami suasana kehidupan sebenar yang penuh dengan cabaran serta dugaan. – UTUSAN

Tiada ulasan: