Rabu, 20 Januari 2021

Biarlah kedai gunting rambut, salun terus dibuka ketika PKP

KOTA KINABALU: Pemimpin Perikatan Nasional Sabah hari ini menggesa kerajaan membenarkan kedai gunting rambut dan salon beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Naib Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Gee Tien Siong, 1,000 premis gunting rambut dan salon terjejas susulan PKP di Sabah.

Gee berkata kedai-kedai itu hanya dapat dibuka untuk perniagaan selama setengah tahun pada 2020 setelah kerajaan melonggarkan sekatan pada Jun lalu.

“Mereka bersungguh-sungguh merayu pemerintah melonggarkan peraturan dan benarkan mereka buka perniagaan dengan mematuhi SOP sebagai syarat,” katanya dalam kenyataan selepas pertemuan dengan kumpulan yang mewakili tukang gunting rambut di pejabatnya hari ini.

Gee menambah, ramai pendandan rambut terpaksa menjalankan perniagaan memotong rambut secara ‘rahsia’ di rumah pelanggan untuk menampung kehidupan.

“Ini akan lebih menyukarkan pihak berkuasa mengesan punca jangkitan, sekiranya berlaku sebarang wabak tempatan,” katanya.

Gee berharap pihak berkuasa akan mempertimbangkan cadangan yang diajukannya ke pejabat ketua menteri dan membiarkan kedai dibuka lebih awal sebelum Tahun Baharu Cina untuk mengelakkan himpunan orang ramai.

Tiada ulasan: