Ahad, 10 Januari 2021

Beberapa bekas pemimpin MIC tubuh NGO baru, nafi gantikan MIC

Beberapa bekas pemimpin tertinggi MIC menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru yang dinamakan sebagai Pertubuhan Amal Tranformasi Malaysia (Arima).

Bercakap kepada Malaysiakini, presidennya, P Thiagarajan berkata bahawa NGO itu dilancarkan pada 4 November tahun lepas dan akan menjadi platform memberi sumbangan kepada masyarakat India terutama oleh mereka yang dipinggirkan daripada MIC.

Bagaimanapun, dermawan terkenal di kalangan masyarakat India itu, memberitahu bahawa NGO berkenaan tidak akan menggantikan MIC.

"Tidak. NGO ini bukan untuk menggantikan MIC. Kami menghormati MIC sebagai parti utama kepada masyarakat India.

"Tujuan kami adalah membuka platform kepada pemimpin yang dipinggirkan dalam parti itu," katanya.

Antara pemimpin yang menyertai Arima adalah bekas speaker Dewan Negara V Subramaniam, bekas timbalan menteri, S Sothinathan, dua bekas setiausaha agung MIC, S Murugesan dan A Prakash Rao, dan bekas timbalan pengerusi MIC Melaka K Basil.

Thiagarajan turut berkata bahawa Arima akan bertindak sebagai dwipartisan.

"Polisi kami tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

"Kami sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang memberi perhatian kepada pembangunan masyarakat India," katanya.

Tambahnya, NGO itu juga masih tidak mengambil sebarang keputusan sama ada bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Kami masih tidak mengambil keputusan untuk bertanding pada pilihan raya.

"Tetapi, kami akan menjadi satu platform kepada mereka yang ingin menceburi politik," katanya.

Sehingga Disember NGO itu telah mendaftarkan 5,000 ahli.

Tiada ulasan: