Selasa, 12 Januari 2021

Banci Malaysia 2020: Tarikh temu ramah bersemuka disusun semula

KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia akan menyusun semula tarikh Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) fasa kedua membabitkan temu ramah secara bersemuka.

Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata tarikh Banci Malaysia 2020 fasa kedua sepatutnya dijadualkan berlangsung dari 20 Januari hingga 6 Februari depan.

Beliau berkata, tarikh baharu Banci Malaysia 2020 itu akan dimaklumkan kepada umum kelak.

"Pada masa sama, bagi menyokong usaha membendung dan memutuskan rantaian penularan COVID-19 di dalam negara, kami sedang meneliti semula gerak kerja Banci Malaysia 2020.

"Ia termasuklah membuka semula platform e-Census atau banci dalam talian.

"Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci, boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Langkah itu diambil susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor serta Sabah.

Bagaimanapun bagi kawasan selain lokasi terbabit PKP, Mohd Uzir berkata, pelaksanaan aktiviti di lapangan berkaitan Banci Malaysia 2020 dan survei rutin jabatan itu masih diteruskan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Antaranya, beliau berkata, pengemaskinian penyenaraian tempat kediaman, aktiviti bersama komuniti dan penganjuran klinik e-Census di lokasi terpilih.

"Justeru, orang ramai dan syarikat dimohon untuk terus memberi kerjasama kepada jabatan ini," katanya.

Tiada ulasan: