Rabu, 30 Disember 2020

Sungai Buloh dicemari 4 tan sisa kumbahan setiap hari

Oleh Ilah Hafiz Aziz

KUALA SELANGOR: Kira-kira 4,000 kilogram (kg) atau empat tan sisa pepejal tidak terlarut hasil kumbahan serta buangan industri, dikesan memasuki Sungai Buloh sepanjang hampir 50 kilometer di Jeram, dekat sini, setiap hari sejak beberapa tahun lalu.

Sisa pepejal itu atau TSS (Jumlah Pepejal Terampai/Total Suspended Solid) adalah parameter penting dalam menentukan kualiti air. Istilah pepejal dalam konteks berkenaan bermaksud bahan tidak terlarut dijumpai dalam air sungai yang menyebabkannya keruh.

BH juga difahamkan, antara parameter atau penentu lain yang turut dikesan menjadi penyebab penurunan kualiti air sungai terbabit adalah kandungan Oksigen Terlarut, Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD) dan Ammoniakal Nitrogen.

Mengikut maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, sejumlah 3,700kg BOD dan 11,000kg COD dikesan dalam sungai berkenaan setiap hari, belum mengambil kira sampah sarap yang dibawa aliran air dan terbenam di sepanjang sungai sehingga muara sistem saliran berkenaan.

BH turut dimaklumkan, ketika ini sebanyak 2,822 kilang atau premis berada di sekitar lembangan Sungai Buloh, kebanyakannya beroperasi di sekitar Sungai Gasi, Sungai Hampar dan Sungai Kedondong dan berpotensi menjadi punca pencemaran sistem saliran di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, semua sungai berkenaan bukan sumber air mentah untuk kegunaan umum.

Mengikut pecahan, kawasan sekitar Kampung Baru di Sungai Buloh menempatkan 1,108 kilang atau premis industri, disusuli 462 premis lagi di Kawasan Perindustrian Bandar Sri Damansara dan 274 di Taman Perindustrian KIP.

JAS turut mengesan pelepasan sisa dari loji rawatan kumbahan, sisa pertanian dan penternakan serta dari tapak pelupusan sampah dan kumbahan bukan najis (grey water) dari kawasan perumahan, restoran, pasar dan dobi.

Semua faktor itu menjadi punca habitat Sungai Buloh dan muaranya terjejas teruk dengan kualiti air semakin merosot hari demi hari sehingga mengakibatkan sungai berbau busuk, airnya kehitaman dan berminyak. Ia sekali gus turut menjejaskan habitat hidupan dalam sungai terbabit dan muaranya.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar.

Mengulas perkara itu, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata daripada 2,000 premis industri yang berada di Lembangan Sungai Buloh, kira-kira 20 peratus didapati mengeluarkan atau melepaskan sisa perindustrian ke dalam sungai.

"Ada di antaranya tidak mempunyai loji pengolahan untuk merawat sisa, sekali gus patuh kepada Piawai B Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," katanya kepada BH.

Semalam, BH mendedahkan nelayan kerang di muara Sungai Buloh lebih banyak memperoleh 'hasil' dalam bentuk sampah-sarap sepanjang empat hingga enam jam memerah keringat setiap hari mencari kerang di perairan berhampiran.

Masalah itu dipercayai disebabkan pembuangan sampah-sarap yang mencemari sungai berkenaan, selain disyaki juga akibat pelepasan bahan kimia, berdasarkan keadaan sungai itu yang airnya kehitaman, berbau dan seolah berminyak.

JAS, LUAS perlu lakukan ujian saringan kualiti air

Pihak berwajib khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) perlu menjalankan ujian saringan pada setiap masa atau berkala untuk memeriksa tahap kualiti air Sungai Buloh di Jeram, dekat sini.

Pakar kualiti air, Dr Zaki Zainudin, berkata proses mengambil sampel air sungai berkenaan perlu dilakukan dan kemudian dianalisis untuk mencari punca pencemaran, termasuk sama ada ia disebabkan faktor semulajadi.

"Untuk melihat kualiti air sungai itu, perlu dilakukan beberapa analisis untuk mengesan kandungan organik, oksigen terlarut, ammonia dan pH (tahap alkali air).

"Jika pH menunjukkan air berasid dan kandungan oksigen tidak rendahnya dalam keadaan tidak tinggi, ia (pencemaran) mungkin secara semulajadi. Contohnya akibat resapan organik dari tanah yang mempunyai kandungan organik tinggi seperti tanah gambut," katanya kepada BH.

Beliau berkata, air Sungai Buloh mungkin tercemar sekiranya pemeriksaan menunjukkan kandungan oksigen terlarut dalam sungai itu terlalu rendah.

Katanya, ketinggian kandungan organik yang melampau akibat pencemaran boleh mengakibatkan oksigen terlarut jatuh mendadak dan memberi kesan kepada kualiti air.

Beliau juga menjelaskan, sungai yang berada di pesisir pantai seperti Sungai Buloh, bersifat lebih sensitif terhadap pencemaran.

"Sekiranya berlaku pencemaran dan pada masa sama air pasang, pencemaran itu sukar dan lambat ditolak ke laut, sebaliknya ia kekal lama dalam sungai dan membahayakan hidupan di dalamnya.

"Ini dinamakan 'flushing effect'," katanya sambil mengakui beliau memang maklum mengenai keadaan Sungai Buloh.

Dr Zaki berkata, persoalan yang belum terungkai adalah sama ada perubahan warna air sungai berkenaan disebabkan oleh pelepasan sisa atau kerana faktor semulajadi berikutan ia terletak di kawasan tanah gambut.

"Saya belum mendapat pengesahan sepenuhnya. Apa yang saya risaukan adalah keadaan di Sungai Buloh mungkin tidak begitu diberi perhatian kerana ia bukan sungai yang membekalkan air mentah ke loji air untuk diproses menjadi air terawat.

"Namun, sekiranya perubahan warna air sungai itu diakibatkan oleh pencemaran, ia boleh menjejaskan hidupan akuatik, malah ikan di sungai dan persisir pantai boleh mati.

"Harus diingat bahawa isu sungai adalah isu utama yang perlu diberi perhatian, sama ada ia membekalkan air terawat atau tidak. Ini kerana pencemaran yang berpunca daripada pembangunan tidak terancang boleh membebankan semua pihak jika tidak diatasi sepenuhnya," katanya.

Tiada ulasan: