Isnin, 28 Disember 2020

Sarapan RM1 Nurul Hidayu makin laris

Ahmad Rabiul Zulkifli

ORANG ramai beratur untuk membeli sarapan berharga RM1. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Sambutan menggalakkan terhadap sarapan RM1 yang dijual Nurul Hidayu Zulkifli dari Kampung Tasik Padang Khabor, di sini, mendorong dia menambah jumlah menu daripada 55 kepada 100 jenis sejak seminggu lalu.

Nurul Hidayu, 34, berkata, dia menambah menu yang mendapat permintaan tinggi pelanggan antaranya kuih bronok, bubur lambuk, lepat pisang dan kuih molong.

"Paling kurang 2,000 pek makanan dijual pada setiap hari. Boleh dikatakan semua jenis menu sarapan dijual sekarang.

"Pelanggan pula bertambah satu kali ganda berbanding pada awal perniagaan sejak tular di media sosial.

"Makanan habis dalam tempoh yang lebih singkat manakala nasi lemak dan nasi minyak ayam masih menjadi hidangan utama paling laris," katanya.

Dia berkata, pelanggan yang datang ke gerainya bukan saja dari daerah ini tetapi dari Kemaman dan Besut selain dari Johor dan Kuala Lumpur.

"Saya berasa seronok apabila perniagaan yang dijalankan ini mendapat sambutan dan paling penting membantu golongan yang memerlukan.

"Ramai orang memuji dan menggalakkan saya meneruskan perniagaan ini kerana ia membantu mereka yang mengalami kesulitan dan memerlukan," katanya.

Menurutnya, dia akan membuka gerai yang berkonsep sama di Kampung Chabang Tiga dalam tempoh terdekat bagi memenuhi permintaan pelanggan di kawasan berdekatan.

Tiada ulasan: